Di tahap kritikal Anwar masih main politik

PENGISYTIHARAN Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu dan kini telah pun diwartakan adalah muktamad. Dalam kenyataan media Istana Negara pada hari berkenaan dinyatakan bahawa Agong setelah mendengar taklimat Perdana Menteri (PM) dan 6 orang Pegawai Tertinggi Kerajaan termasuk KSN, Peguam Negara, KPN dan PAT selain berunding dengan Raja-raja Melayu berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 dalam negara sudah terlalu kritikal, lantas terdapat keperluan bagi Tuanku menggunakan kuasa Baginda di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk berkenan mengisytiharkan Darurat ke seluruh negara.

Semalam sahaja angka baru kes positif COVID-19 mencecah 3,337 kes iaitu tertinggi setakat ini. Dan 578 telah menjadi korban akibatnya. Ini serius dan perlukan tumpuan semua pihak bagi memastikan wabak ini terus tidak menganggu kehidupan rakyat dan ketenteraman dalam negara. Dan dalam pada itu kita berhadapan pula dengan bencana banjir di sebahagian besar Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Advertisement

Jika Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang tiada kepentingan politik kepartian selain para pegawai tinggi kerajaan yang mewakili berbagai kepakaran yakin bahawa Darurat adalah jalan terbaik menghadapi wabak dan bencana ini kenapa masih ada orang politik yang tidak yakin?

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meminta Ahli-ahli Parlimen merayu kepada Agong agar membatalkan Darurat ini atas alasan kononnya langkah-langkah yang diambil kini sudah memadai. Beliau mahu Parlimen segera bersidang.

Apakah kesan cadangan Anwar ini terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta yang lain yang terlibat? Adakah beliau menganggap keputusan pihak Istana Negara dan Raja-raja Melayu tidak cerdik, tergesa-gesa atau atas tekanan politik?

Anwar sepatutnya bersama kerajaan mendepani krisis ini bukannya mengambil kesempatan bertindak bagaikan jaguh mengeruhkan suasana. Rakyat sedang menderita dan ratusan telah terkorban, ribuan lagi bersesak di hospital dan pusat kuarantin, sedang Anwar sibuk bermain politik.

Cukup-cukuplah mengadu-domba dan mempromosi diri rakyat mahukan penyelesaian bukannya huru-hara dan ketidaktentuan. Kami rakyat Malaysia setia pada Raja dan Negara dan kiranya Darurat ini adalah jalan keluar terbaik maka rakyat akan mendukungnya dan bersama menjayakan langkah dan usaha kerajaan. Senang dan susah bersama insya-Allah. Yang risau, rimas, gelabah dan menentang ternyata derhaka dan anti nasional. Tidak layak lagi diberi mandat oleh rakyat di masa depan. 

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/1/2021