Apa motif Anwar? – Ustaz Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sibuk mencemar duli membantu mangsa-mangsa banjir, sebaliknya pula sifat Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tergesa-gesa mahu Parlimen bersidang.

- Advertisement -

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, beliau juga binggung dengan motif susuk tubuh ahli politik itu yang secara tiba-tiba mahu Parlimen bersidang.

Sedangkan, Parlimen baru sahaja selesai bersidang membahaskan Belanjawan 2021 sebelum ini, ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, pagi tadi.

“Yang di-Pertuan Agong duduk sibuk membantu mangsa banjir bersama-sama pimpinan kerajaan sekarang, dengan banjir, dengan COVID-19, tiba-tiba dia pula hendak sibuk untuk panggil sidang Parlimen.

“Apa motif dia kita pun tidak tahu, apa sebab dia mahu panggil? Tidak puas lagikah baru-baru ini bahas pembangkang dalam sidang Parlimen yang lalu?

“Bahas bajet, kemudian tolak bajet, tapi mujur itu semua tidak berjaya,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson dalam kenyataannya memaklumkan bahawa beliau menghantar surat kepada semua ahli Parlimen untuk mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merayu membatalkan darurat di negara ini.

Hal ini kata Anwar, supaya Parlimen boleh bersidang segera.

Mengulas mengenai tindakan Anwar itu, Ustaz Idris berharap semua pihak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kepentingan rakyat sepanjang tempoh darurat kesihatan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Katanya, ini bukan masanya untuk tumpu kepada kepentingan kelompok ataupun cita-cita peribadi semata-mata. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -