Ambil tindakan tegas ke atas Anwar – DPPM

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa tindakan tegas diambil terhadap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta individu yang mempertikai pelaksanaan proklamasi darurat.

Advertisement

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata pihaknya menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Anwar yang mengajak semua ahli Parlimen menderhaka dan menentang proklamasi darurat ini.

“Beliau (Anwar) sepatutnya dilihat sebagai tokoh negara yang rasional dan menolak matlamat peribadi dalam keadaan getir ini.

“Namun sebaliknya berlaku. Beliau memilih untuk menjadi ‘batu api’ dan mengheret rakyat ke arah kegusaran. Tanpa segan silu beliau menjadikan keselamatan rakyat sebagai taruhan sekali lagi, demi mencapai cita-cita peribadinya,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat lepas.

Menurutnya, DPPM menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mempertaruhkan nyawa rakyat merupakan pengkhianatan yang besar kepada Yang di-Pertuan Agong, negara serta seluruh rakyat jelata.

Seharusnya kata beliau, dalam keadaan sekarang hentikan berpolemik dan bersatu hati dengan meneruskan segala idea dan rancangan bagi melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.

Malahan katanya, kerajaan telah bersikap terbuka dengan mengajak wakil pembangkang untuk bersama dalam Jawatankuasa Khas Bebas yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan atau menghentikan darurat.

Tegasnya, cadangan gopoh serta tidak bijak Anwar untuk menolak proklamasi darurat ini langsung tidak disertakan dengan idea lain, selain mendesak untuk diadakan persidangan Parlimen dalam keadaan rakyat sedang diancam jangkitan wabak.

“Setakat hari ini, sudah lima orang Ahli Parlimen dijangkiti wabak COVID-19. Masih perlukah sidang Parlimen diadakan?

“Apa muslihat Anwar mendesak persidangan Parlimen? Untuk jatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya?

“Tidak cukupkah kita dengan apa yang berlaku di Sabah selepas kerajaan dijatuhkan, dan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibatnya?” soalnya.

Dalam pada itu, katanya DPPM menyatakan komitmen mendokong sepenuhnya usaha kerajaan dan akan mengerah kesemua ahlinya untuk terus membantu dalam apa jua sudut, sehingga wabak ini berjaya dikawal dengan baik.

Merujuk kepada pungutan suara yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan disertai hampir 120,000 responden, menunjukkan bahawa majoriti rakyat bersetuju dengan pelaksanaan darurat.

“Rakyat melihat ini sebagai suatu tindakan yang wajar, kerana kepentingan nyawa dan keselamatan itu lebih besar agendanya berbanding yang lain.

“Bukan mudah untuk menelan kepayahan ini, namun inilah hakikat yang perlu diakui bagi memastikan kestabilan yang lebih baik dalam tempoh yang bakal mendatang,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 15/1/2021