Agong cemar duli lawat mangsa banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli bagi menzahirkan keprihatinan dengan melawat mangsa banjir dan meninjau situasi di Kampung Acheh, Pekan, Pahang, semalam.

- Advertisement -

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat dan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balai Raya Kampung Acheh.

Dalam lawatan ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

Turut mengiringi, anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di sekitar Pekan, Pahang yang telah dilanda bencana banjir.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda berdua terhadap mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.

Daerah Pekan merekodkan paling ramai mangsa, iaitu 3,315 orang daripada 932 keluarga, diikuti Temerloh dengan 1,455 mangsa daripada 375 keluarga dan Maran dengan 2,075 mangsa membabitkan 599 keluarga.

Di Kuantan pula, seramai 853 mangsa daripada 192 keluarga direkodkan, Bera dengan 780 mangsa membabitkan 211 keluarga, Lipis dengan 353 mangsa daripada 93 keluarga, Jerantut dengan 34 mangsa daripada 10 keluarga dan Raub dengan empat mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan tiga sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -