1 juta dos vaksin bakal tiba hujung Februari – Amzad

Kredit https://www.explica.co/
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak satu juta dos vaksin jenis Pfizer dijadualkan tiba di Malaysia pada penghujung Februari depan, diikuti vaksin-vaksin lain iaitu Astrazeneca, Sinovac, Sputnik V dan CanSino selain baki vaksin Pfizer.

Penerimaan vaksin ini mengikut tahap pada sukuan kedua, ketiga dan keempat tertakluk kelulusan NPRA dan butiran akhir perjanjian.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim, bagi satu juta dos pertama petugas barisan hadapan yang terdiri daripada 300,000 petugas kesihatan dan lain-lain petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin terlebih dahulu.

“Mengapa satu juta dos untuk 500,000 orang? Kerana untuk vaksin Pfizer, setiap orang perlukan dua dos untuk mencapai tahap imuniti yang diperlukan.

“Jarak masa antara dos pertama dengan dos kedua adalah 21 hari. Untuk tidak mengambil risiko misalnya kelewatan penghantaran kedua, maka dos kedua untuk setiap penerima dos pertama akan disimpan (reserve) terus supaya dos kedua dapat diberikan mengikut jadual sepatutnya.

Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim

“Untuk fasa selanjutnya keutamaan akan diberikan kepada golongan berisiko tinggi misalnya warga emas atau yang mempunyai penyakit yang mendedahkan mereka kepada bahaya yang mengancam nyawa jika mereka tidak dilindungi. Ini pada sukuan kedua tahun 2021.

“Untuk kebanyakan rakyat yang tidak tergolong dalam kategori barisan hadapan atau yang diberikan keutamaan atas faktor risiko tinggi, jangkaannya akan menerima vaksin mulai sukuan ketiga,” katanya.

Ujarnya lagi, Malaysia merancang sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk menerima vaksin bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai.

70 peratus yang menerima vaksin itu mempunyai cukup pertahanan diri sehingga virus Covid-19 tidak mempunyai ruang untuk tersebar dan menjangkiti 30 peratus lagi mereka yang tidak menerima suntikan vaksin atas faktor kesihatan atau enggan menerima.

Walaupun terdapat keraguan dari kalangan yang kurang yakin dengan vaksin ini memandangkan ia masih baru malah ada yang terpengaruh dengan dakyah hukum syarak dan kononnya agenda musuh Islam, beliau berkata Jakim dan pihak berkuasa agama negeri telah memberikan pencerahan mengenainya melalui fatwa dan khutbah dalam program penerangan.

“Sekali lagi saya ingin memaklumkan pemberian vaksin Covid-19 oleh kerajaan adalah percuma, tak perlu dibayar dan kerajaan tidak bercadang mewajibkan,” kata Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Selain itu, vaksin Covid-19 juga tidak akan diberikan kepad individu berumur bawah 18 tahun, mempunyai alahan yang teruk, masalah sistem keimunan dan ibu mengandung.

Beliau turut berkata, kerajaan melalui National Pharmaceutical Regulatory Agency, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan panel pakar dari pelbagai bidang kepakaran memantau secara berterusan kesemua data saintifik berkaitan vaksin Covid-19.

Pemantauan dan perkembangan ini dibuat setiap hari bagi memastikan vaksin ini selamat, berkesan dan stabil digunakan untuk rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -