Utamakan solidariti bendung Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana pihak memberi pandangan tentang proklamasi darurat yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi hendaklah dengan cara berhemah.

Malah menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali, perkara paling utama sekarang adalah bagaimana solidariti untuk memastikan wabak Covid-19 boleh dibasmi dengan baik.

- Advertisement -

Terdahulu, pembangkang menolak alasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan negara di bawah status darurat kononnya untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19.

Menurut pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama Majlis Presiden, Muhyiddin mengusulkan darurat kerana dia kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Turut memuat kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Sallahuddin Ayub di akaun Twitternya pada 12 Januari dengan status, “Rampas kuasa tubuh kerajaan tebuk atap, Takut hilang kuasa guna darurat. Inilah manusia yang bergayut di pagar istana. Tak de maruah.

Dr. Che Hamdan berpandangan darurat yang diisytiharkan baru-baru ini bertujuan untuk menjaga kesihatan dan nyawa rakyat.

“Sekiranya darurat ini sememangnya untuk lebih efisyen mengendalikan pandemik Covid-19, semua orang perlu menyokong darurat ini.

“Namun, sekiranya atas alasan politik dan kuasa, ia sangat tidak patut,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar semua pihak perlu ikhlas dan tidak meletakkan kepentingan diri dan parti masing-masing di depan.

“Pada masa yang sama, walaupun darurat dilaksanakan proses semak dan imbang perlu diteruskan bagi memastikan demokrasi kita subur,” kata Dr. Che Hamdan.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah memperkenankan pelaksanaan proklamasi darurat berkuatkuasa serta merta sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga ke satu tarikh yang lebih awal jika kes harian pandemik Covid-19 telah dapat dibendung dan terkawal.

Pelaksanaan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu untuk memperhalusi cadangan Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet mengenai proklamasi darurat selain mengambil kira kes harian positif Covid-19 meningkat naik keempat angka sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara pada September tahun lepas.

Apatah lagi Kementerian Kesihatan Malaysia meramalkan kes harian akan mencecah ke angka 8,000 kes pada Mac depan.

Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata proklamasi darurat bukan satu rampasan kuasa, urusan harian rakyat masih berjalan cuma tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri-negeri yang telah diumumkan pelaksanaannya pada Isnin.

Sepanjang tempoh proklamasi darurat juga pilihan raya umum dan pilihan raya kecil tidak akan diadakan manakala Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga satu tempoh yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -