MENGUCAP istighfar panjang saya apabila terdapat segelintir daripada pihak yang begitu negatif sangat pemikiran mereka sehingga sanggup menuduh Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah (DG) adalah ahli Freemasonkerana sanggup menerima hadiah daripada Rotary Club.
Penerimaan hadiah seperti ini bukan bermakna seseorang itu ahli kelab ataupun bersekongkol dengan perjuangan kelab tersebut (andai kata ianya terdapat sisi negatif dari pandangan kita). Ianya adalah perkara biasa yang berlaku. Takkanlah dengan terima perjanjian daripada China terus kita ini dituduh sebagai Komunis? Atau menerima hadiah seekor panda daripada China terus kita dituduh sebagai pro Komunis? ataupun kita membuat perjanjian dengan Rusia terus kita dituduh sebagai Nazi dan sebagainya? Tidak!
Penerimaan hadiah ataupun anugerah seperti ini adalah satu yang biasa diberikan kepada individu yang banyak jasanya dalam negara terutama sekali dalam Pandemik COVID-19. Tan Sri DG adalah di antara 3 nama tokoh yang begitu cemerlang dalam menangani COVID-19 dalam dunia. Walaupun mungkin organisasi yang memberikan hadiah itu dikatakan mengandungi unsur-unsur selain daripada prinsip perjuangan kita atau hadiah dari orang kafir, bukan cara kita untuk menolaknya dengan mudah.
Hatta jika dilihat kepada Sirah Nabi S.A.W sendiri pun pernah menerima beberapa hadiah daripada orang kafir. Adakah Rasulullah S.A.W menolaknya? Contohnya dalam kisah masyhur setelah peperangan Khaibar Rasulullah S.A.W telah dihadiahkan dengan seekor kambing panggang. Hadiah ini diberikan oleh seorang wanita Yahudi Zainab Al Harith yang berniat membunuh Nabi. Rasulullah S.A.W menerimanya dengan baik dan mengajak para Sahabat yang mulia itu makan bersama. Tetapi akhirnya Allah menyelamatkan Rasulullah S.A.W dengan memberi wahyu kepada Nabi bahawa daging kambing itu adalah diracuni. Apapun dari sirah ini, Rasulullah S.A.W tidak menolak pemberian daripada Yahudi itu walaupun atas apa tujuan sekalipun.
Penganugerahan itu bukannya semata-mata untuk individu tetapi ianya adalah juga menghargai organisasi yang didukung oleh Tan Sri DG – Kementerian Kesihatan Malaysia. Inilah penghargaan yang perlu kita banggakan. Tiada niat pun kita ingin mengiktiraf Freemason.
Jika kita menggunakan sifir yang sama dengan menuduh apa saja anugerah yang diberikan oleh Rotary Club kepada individu yang berjasa kepada negara terus dicop sebagai Freemason ataupun Iluminati, adakah sama dengan penganugerahan yang telah diberikan kepada tokoh-tokoh berikut?
(1) Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sultan Selangor. Sebagai Patron kelab.
(2) Al-marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Juga sebagai penaung Rotary dan Lion Club negeri Perak.
(3)Tun Mahathir Mohamed, masa tu sebagai PM4.
(4) Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
(5) Kerabat Sultan Johor.
(6) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Apakah matlamat mereka sebenarnya menuduh individu terlibat dalam Freemason, Iluminati dan sebagainya? Kalau nak jatuhkan kredibiliti individu itu sekali pun berpada-padalah.
Persoalannya, Adakah mereka nak negara kita ini ditadbir dengan cara yang mereka idam-idamkan? Hancurlah kesihatan negara jika dibiarkan pesakit begitu sahaja.
Adakah kita nak pesakit itu tidak dirawat akibat daripada sesak nafas diserang COVID-19? Kononnya COVID-19 itu selsema biasa.
Adakah ingin dibiarkan begitu sahaja tanpa bantuan pernafasan? Sebab kononnya protokol rawatan seperti pemberian oksigen dan dimasukkan ke wad itu adalah protokol Yahudi ataupun Freemason yang menunggangi WHO.
Adakah kita nak pesakit COVID yang sepatutnya dibantu dengan alat bantuan pernafasan dan dirawat dengan ventilator itu dibiarkan mati begitu sahaja? Sebab kononnya mereka mengatakan bahawa ventilator itu adalah teknologi dan agenda daripada Yahudi. Hanya cukup dengan membaca Ruqyah dan memberi makanan sunnah?
Adakah semua yang telah difatwakan majlis fatwa berkaitan dengan pandemik COVID-19 (seingat saya lebih daripada 9 fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis fatwa) itu semuanya merujuk kepada Zionis Yahudi ataupun kafir?
Tidakkah para ulamak kita yang bersidang bersama dengan mufti merujuk dalam pelbagai kitab yang Muktabar serta mendapat pandangan ahli perubatan sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan itu sebagai pendukung Dajal?
Begitu mudah sungguh menuduh semua orang yang terlibat dalam menguruskan wabak dalam negara ini sebagai itu dan ini. Yang betul hanya mereka sahaja. Sedangkan habuk pun tidak ada sumbangan mereka dalam membangunkan kesihatan negara serta mencari solusi kemaslahatan ummah.
Astaghfirullahalazim.
Astaghfirullahalazim.
Astaghfirullahalazim.
DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 14/1/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.