KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan hampir pulih apabila hanya terdapat sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di negeri itu.
PPS berkenaan beroperasi di Sekolah Kebangsaan Tok Deh Pasir Mas dengan 32 mangsa banjir.
Sedangkan pada peringkat awal banjir gelombang ketiga melanda, jumlah PPS dibuka di enam jajahan di Kelantan adalah sebanyak 75 PPS dengan jumlah mangsa banjir melebihi 6,000 orang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah memberitahu semua PPS di jajahan Kuala Krai ditutup sepenuhnya pada Selasa, 12 Januari lalu.
Katanya, semua mangsa banjir sudah kembali ke rumah dan membersihkan kesan lumpur di rumah mereka.
“Mereka sekarang menjalani urusan kehidupan harian sebagaimana biasa selepas banjir sudah pulih.
“Mangsa banjir juga dibantu Skuad Gonyoh Gaha bagi membersihkan kediaman mereka daripada kesan-kesan banjir, malah keluarga penduduk mengurus sendiri aktiviti membersihkan rumah mereka,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, tambahnya pihaknya turut menyediakan sukarelawan Task Force Kuala Krai untuk operasi membersih lumpur di rumah penduduk.
Jelasnya, antara tumpuan Task Force tersebut iaitu tempat-tempat awam seperti surau, masjid diadakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Bomba dan Penyelamat.
“Ada juga sukarelawan NGO dari luar Kelantan turut membantu. Manakala anggota Bomba dan APM ditugaskan melakukan sanitasi di tempat awam yang diduduki mereka yang disyaki terlibat dengan Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2021