Perlekeh darurat adalah biadab dan khianat – MAMPIR

- Advertisement -

MAMPIR merafak sembah dan menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan pengisytiharan Darurat yang selaras dengan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Pengisytiharan ini juga dititah Baginda setelah berunding dengan Majlis Raja-raja Melayu dan Majlis Keselamatan Negara. Keputusan ini adalah secara kolektif dan berdasarkan prinsip amalan ‘syura’ yang bertujuan mengelak soal kepentingan individu.

Keputusan Baginda seperti peruntukan di bawah fasal–fasal Perkara 150(1) dan 150(2) tidak boleh dicabar oleh mahkamah atas apa jua alasan melalui peruntukan Perkara 150(8). Ketika keadaan darurat ini berlangsung, prerogatif KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk membuat ordinan begitu luas selagi berada dalam batasan yang dibenarkan serta bertujuan mencapai maksud darurat itu diisytiharkan.

MAMPIR menyanjung tinggi titah KDYMM Seri Paduka yang telah menzahirkan kebijaksanaan Baginda apabila memperkenankan cadangan kerajaan bagi membentuk satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan dan memberi budi bicara kepada Jawatankuasa Bebas ini untuk mengusul pandangan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda sekiranya tempoh darurat ini boleh ditamatkan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

- Advertisement -

Sebarang tindakan atau kenyataan yang bersifat menentang atau memperlekehkan perisytiharan darurat ini bermakna menafikan keputusan syura yang berautoriti serta merendahkan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-raja. Sikap golongan sebegini juga adalah suatu kebiadaban dan pengkhianatan terhadap Keluhuran Perlembagaan dan Institusi Raja-raja yang wajib ditolak oleh seluruh rakyat.

Sehubungan itu, MAMPIR sebagai suatu wadah menyampaikan suara prihatin isu kenegaraan kalangan agamawan dan aktivis masyarakat mengharapkan:

(1) Semua anak watan Malaysia wajib memahami bahawa Kerajaan Malaysia pada hakikatnya ialah Kerajaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah bersumpah memelihara pemerintahan yang adil dan aman. [Perkara 37(1)] Perlembagaan Persekutuan.

(2) Menyeru agar rakyat berdiri menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar pihak pentadbiran sedia ada dapat memberi fokus dan bersikap proaktif melandaikan lekuk positif COVID-19 harian tanpa sebarang gangguan birokrasi atau kerenah politik dan pentadbiran.

(3) Mendoakan agar Jawatankuasa Bebas yang dibentuk benar-benar bebas dari kepentingan politik peribadi atau parti atau kepentingan mana-mana pihak tertentu sama ada di dalam atau di luar negara.

(4) Mencadangkan agar pakar bidang Perlembagaan dan agamawan dapat membantu membimbing masyarakat agar tenang dan faham secara realiti terhadap isu kenegaraan yang sedang dilalui dan bersama memberikan komitmen memerangi pandemik.

(5) Mengingatkan kepada ahli-ahli politik menjadikan darurat ini sebagai tempoh bertenang dan muhasabah mengislahkan peribadi dan parti agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik, berintegriti dan berkredibiliti kepada agama, bangsa dan negara pasca darurat nanti.

(6) Mendoakan agar keputusan ini menjadi keputusan yang terbaik buat semua pihak dalam negara.

(7) Mendoakan agar Allah meletakkan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan Payung Mahkota KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

MAMPIR sekali lagi merafak sembah menjunjung kasih dan mendoakan agar KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam lindungan dan Rahmat Allah S.W.T. 

“Daulat Tuanku”

Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-raja
MAMPIR – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -