PAS mengamalkan budaya politik jujur

- Advertisement -

ADA ORANG tanya saya mengapa PAS kelihatan tenang saja, walaupun iklim politik negara sedang tak menentu. Saya nak beritahu kepada yang belum tahu:

(1) Dalaman parti


Dalam parti PAS mengamalkan budaya tak berebut jawatan. Kerana sejak dulu-dulu lagi Tok-tok Guru dan alim ulamak mengajar kami Hadis Nabi S.A.W:

- Advertisement -

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ” إِنْ شِئْتُمْ أَنْبَأْتُكُمْ عَنِ الإِمَارَةِ، قَالُوا: وَمَا هِيَ؟ قَالَ: أَوَّلُهَا مَلامَةٌ، وَثَانِيهَا نَدَامَةٌ، وثَالِثُها عَذَابٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، إِلا مَنْ عَدَلَ

“Daripada ‘Auf bin Malik. Bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Jika kamu mahu aku akan ceritakan kepada kamu berkenaan kepimpinan. Sahabat menjawab; “Apakah ia (ya Rasulullah) Baginda bersabda;“ (Jawatan kepimpinan itu) awalnya adalah saling salah menyalah, peringkat keduanya penyesalan dan peringkat ketiga azab pada hari kiamat. Melainkan orang (pemimpin) yang adil.”

Asuhan itu melekat dalam hati kami ahli-ahli PAS. Lantas kami tidak berebut-rebut. Bahkan kami lebih selesa menjadi ahli biasa dari menjawat apa-apa jawatan kecuali kerana terpaksa demi agama. Kerana tak berebut-rebut makanya kami tenang. Ukhuwah kami terjaga dan terpelihara. Yang memimipin dibantu sepenuhnya oleh orang yang dipimpin. Jauh sekali nak baling-baling kerusi kerana tak puas hati. 

(2) Taat dan walak

Dalam PAS kami diajar memiliki sifat ‘dengar dan taat’. Atau mudahnya ialah walak kepada pimpinan dan jamaah. Orang luar terutamanya musuh kami menganggap kami bodoh dan jumud. Tapi kami tak kisah pun. Sebab walak atau taat itu sebahagian dari ajaran Islam. Sabda Rasulullah S.A.W;

عَنِ النَّبِيِّ قَالَ: ” السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ “

“Daripada Nabi S.A.W; dengar dan taat adalah kewajipan atas setiap Muslimin, sama ada dalam perkara yang disukainya ataupun tidak disukainya. Selama ia tidak disuruh kepada maksiat. apabila diperintahkan kepada maksiat maka tiada lagi kewajipan dengar dan taat (dalam perkara tersebut).”

(Shahih Bukhari)

Kalau taat dan walak itu sudah termasuk dalam ajaran Islam maka apa lagi yang perlu kami risaukan. Bermakna dengan ketaatan itu kami beroleh pahala dan ganjaran dari Allah. Musuh memanggil kami walaun sebagai gelaran sinis kepada kami. Tapi kami kira ok juga. Samalah kalau mereka panggil kami serbaniyyun kerana kami pakai serban. Kerana memakai serban itu Sunnah Rasulullah S.A.W.

(3) Dengan parti rakan

Kami berpegang kepada prinsip sekali berjanji kami akan setia dengan janji. Sehinggalah rakan politik kami merombak perjanjian itu. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

“Wahai orang yang beriman, penuhi (tunai)-lah perjanjian-perjanjian.” 

(al-Maidah: 1)

Sebab itu kami tenang. Kami yakin kerana perdamaian kami itu Lillah, maka Allah akan selamatkan kami dari sebarang kerugian disebabkan perdamaian itu. Bahkan Allah akan datangkan pertolonganNya. Firman Allah:

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Kerana kecenderungan kami yang amat sangat kepada perdamaian dan persaudaraan, makanya kami tidak menaruh curiga terhadap rakan-rakan Ta’awun kami. Jadinya kami tak kecoh, kami tak kelam kabut dan tak resah pun dengan apa pun perkembangan dalam parti rakan kami. Kami yakin Allah itu Maha Mendengar lagi Mengetahui. Allah pasti akan bantu dan tolong kami kalaupun ada usaha mengkhianati kejujuran kami. Bukankah itu janji Allah:

وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّـهُ ۚ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ

“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.”

Jadi apa pun usaha musuh untuk laga-laga kami sama ada dengan Umno atau BERSATU, kami tak layan pun. Kerana beriman kepada Allah itulah sumber ketenangan. Itulah jawapan awal mengapa anda melihat PAS tenang.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -