PAR JB salur bantuan kit wanita kepada mangsa banjir

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Kawasan Johor Bahru memandang serius keperitan dan kesusahan rakyat ketika berhadapan dengan bencana banjir.

- Advertisement -

Terbaharu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang sebaran wabak COVID-19 yang menunjukkan peningkatan kes harian yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, melalui Pusat Aduan Rakyat (PAR), PAS Johor Bahru telah menyediakan sumbangan berupa pek makanan asas kepada yang terjejas pendapatannya akibat PKP dan Kit Wanita yang bakal disalurkan kepada mangsa banjir yang terlibat.

Pek makanan asas dan kit wanita tersebut mengandungi beberapa keperluan asas seperti makanan ringan, tudung, sejadah, alatan cucian dan beberapa keperluan harian yang menjadi permintaan mereka ketika berada di pusat pemindahan banjir.

Menurut Penyelaras Pusat Aduan Rakyat PAS Johor Bahru Zakiah Tukirin, sebanyak 100 Kit Wanita telah disediakan untuk diagihkan kepada beberapa kawasan yang terlibat dengan banjir.

“Kita telah menyerahkan separuh daripada Kit yang telah siap dibungkus ke Kawasan Tebrau dan Iskandar Puteri. InsyaAllah kita akan terus menyiapkan Kit dan menyerahkan ke Kawasan lain yang memerlukan” Ujar Zakiah selepas penyerahan semalam.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Johor Bahru, Ainudin Khalid yang terlibat dalam misi tersebut berkata, mangsa banjir terbabit perlu dibantu memandangkan kebanyakan rumah kediaman mereka dimasuki air dan telah merosakkan harta benda yang lain.

Program bantuan ini merupakan hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati terhadap musibah yang dihadapi oleh mangsa banjir.

Persiapan bantuan ini turut dijayakan oleh Dewan Muslimat PAS Johor Bahru dan PAS Cawangan Larkin.

Mengambil kesempatan ini, pusat aduan rakyat PAS Johor Bahru mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang kerana memberi kepercayaan kepada PAS Johor Bahru untuk terus membantu rakyat yang berhadapan dengan musibah telah berlaku. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -