Pahang batal sambutan perayaan Thaipusam

- Advertisement -

KUANTAN: Pahang membenarkan aktiviti di masjid dan surau dengan had kehadiran ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP).

- Advertisement -

Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aktiviti di rumah ibadat bukan Islam turut dibenarkan dengan had kehadiran ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri.

Katanya, bagi upacara pernikahan (akad nikah) bagi orang Islam dibenarkan dengan kehadiran maksimum lapan orang sahaja.

“Upacara akad hanya dibenarkan untuk dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja.

“Manakala upacara perkahwinan bukan Islam dibenarkan dengan kehadiran maksimum lapan orang sahaja di Jabatan Pendaftaran Negara/Rumah Ibadat/Persatuan Agama Bukan Islam,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Syarat-syarat pengoperasian dan aktiviti tersebut diputuskan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) pada mesyuarat hari ini.

Peraturan itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang yang berkuatkuasa semalam.

Menteri Besar juga berkata, sambutan perayaan Thaipusam bagi tahun ini di negeri itu dibatalkan. Hari Thaipusam disambut pada 28 Januari ini.

Menurutnya juga, premis-premis dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Katanya, majikan hendaklah memastikan pekerja bebas daripada simptom-simptom COVID-19 sebelum dibenarkan bekerja.

“Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan.

“Menjalankan saringan suhu badan dan merekodkan data termasuk nama, alamat dan nombor telefon pelanggan, pelawat dan semua yang berurusan di premis,” ujarnya.

Menurutnya juga, semua kilang dibenarkan beroperasi dan bagi kumpulan pengurusan hanya 30 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -