Kuasa YDPA isytihar darurat tidak boleh dicabar

- Advertisement -

KOTA MELAKA: Kuasa untuk mengisytiharkan darurat adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh dicabar dan dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah.

Tujuan asal darurat adalah berkait dengan isu keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak terkawal, tetapi dalam darurat yang dimaksudkan pada waktu sekarang yang dikenali sebagai proklamasi darurat ini adalah sebagai satu langkah untuk membendung wabak Covid-19 yang semakin tidak terkawal.

- Advertisement -

Demikian dinyatakan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek yang diminta mengulas mengenai kenyataan media Badan Perhubungan PAS Melaka semalam yang menyokong pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ustaz Kamarudin, Baginda telah memberi perkenan proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat kabinet berhubung perkara tersebut.

“Apabila proklamasi darurat diisytiharkan bermaksud semua pihak sama ada parti politik dan orang awam diminta untuk bersoladariti bersama-sama berusaha mencegah atau memutuskan rantaian Covid-19.

“Walau bagaimanapun jentera pentadbiran negara sama ada di peringkat pusat atau negeri tidak terkesan dengan pengisytiharan tersebut kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta, yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya, berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa,” ujar beliau.

Menurut Ustaz Kamarudin lagi, pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera.

“Cuma dari sudut Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pilihan raya umum dan pilihan raya kecil digantung buat sementara waktu sehingga berakhirnya darurat.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan yang berkaitan untuk mengkaji dan memantau proklamasi darurat ini.

“Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat itu dapat ditamatkan lebih awal,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas ini adalah langkah yang sangat baik bagi memastikan darurat ini benar-benar bertujuan untuk menangani wabak dan bukannya bertujuan politik.

Ini menurut beliau, adalah satu usaha yang baik kerana negara ini adalah milik rakyat, jadi dengan melibatkan ahli-ahli parti pembangkang di dalam jawatankuasa itu dilihat sebagai satu usaha yang wajar dan perlu dipuji.

“Yang di-Pertuan Agong turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan,” kata beliau lagi.

Berhubung kait dengan PKP yang telah dilaksanakan khususnya di negeri Melaka ini, beliau mewakili PAS Melaka berpandangan ia amat bertepatan dan dikehendaki oleh rakyat buat ketika ini.

“PKP kali ini dijangkakan dapat mengurangkan jangkitan dan kita harapkan sehingga dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan di sana juga kita perlu melihat kemampuan pihak kesihatan sama ada di peringkat negeri atau negara yang boleh dikatakan hampir kita berada di satu peringkat kemuncak.

“Contohnya di Melaka, kapasiti hospital Melaka telah penuh dan tidak mampu lagi menampung pesakit baharu Covid-19.

“Semua pesakit baharu yang didapati positif Covid-19 di negeri ini akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.

“Jadi saya mengharapkan supaya semua rakyat jelata tanpa mengira fahaman politik bekerjasama dan akur dengan perintah PKP yang telah diisytiharkan oleh kerajaan,” rayu beliau.

Dalam pada yang sama, kata Ustaz Kamarudin, di era darurat ini hubungan PAS dengan rakan-rakan Muafakat Nasional dengan Umno begitu juga rakan Perikatan Nasional khususnya Bersatu berjalan seperti biasa.

“Dalam sudut gerak kerja memberi kebajikan kepada rakyat dan juga pemimpin-pemimpin parti politik sama ada Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional kita boleh berhubung antara satu sama lain dalam membincangkan isu-isu semasa walaupun tanpa pertemuan fizikal kita boleh menggunakan berbagai-bagai medium yang lain secara online dan sebagainya.

“Dan insya-Allah kita harapkan supaya hubungan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional serta Bersatu dalam Perikatan Nasional akan terus terjalin walau dalam suasana apa pun.

“Jadi mudah-mudahan semua kita sama ada ahli PAS dan rakyat dapat memahami dan bersama-sama kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” kata beliau lagi ketika ditemubual Harakahdaily, semalam. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -