Isu pelanggaran syarak ditangani penuh hikmah

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, saya bersyukur dengan pengalaman melihat sendiri bagaimana komitednya pihak berkuasa agama, baik di peringkat Persekutuan, mahupun negeri-negeri, dalam menegakkan hukum syarak di negara ini. 

Ada di antara mereka menghabiskan masa sehingga lewat malam bagi memastikan sistem keadilan syariah boleh berdiri sama tinggi dengan sistem keadilan sivil.

- Advertisement -

Antara agensi atau jabatan kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah termasuklah Jabatan Agama Islam Negeri, Bahagian atau Jabatan Pendakwaan Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri. Saya amat berbangga melihat perkembangan dan kemajuan mereka terutamanya dari sudut siasatan dan pendakwaan melibatkan jenayah syariah. 

Bukan senang untuk membendung aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak. Sangat mudah menjadi sasaran tohmahan dan kebencian, terutamanya apabila makin ramai yang berani melakukan maksiat kepada Allah secara terang-terangan.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu gembira sekiranya proses amar ma’ruf nahi mungkar dijalankan oleh pihak berkuasa. Ruang untuk penambahbaikan semestinya ada, tetapi ia bukan sebab untuk kita menolak agenda amar ma’ruf nahi mungkar yang dilakukan. Sokong, tegur dan cadangkanlah kepada mereka dengan sebaik-baik cara.

Saya yakin bahawa, sama seperti agensi kerajaan yang lain, pegawai-pegawai agama yang terlibat dalam penguatkuasaan dan penyiasatan juga telah melalui latihan agar dapat menjalankan tugas secara profesional dan berhemah mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang ada mengikut negeri. 

Melihat kepada laporan-laporan yang diberikan kepada saya, saya percaya, agensi agama akan terus mempertajam kemahiran dan meningkatkan pengalaman pegawainya dalam mengendalikan serbuan, tangkapan dan siasatan. 

Tanpa menafikan cabaran dan kekangan dari segi logistik dan prasarana, saya positif, keikhlasan melakukan kerja-kerja Allah adalah kelebihan kita yang utama. Tiada kekangan yang dapat menghalang semangat jihad kita melakukan yang terbaik di posisi masing-masing, insyaAllah

Saya sungguh mengharapkan agar sahabat-sahabat semua dapat menyokong penguatkuasaan syariah yang lebih tegas, tidak kira di peringkat negeri dan Persekutuan. Berilah maklumat, aduan dan laporan mengikut proses yang betul jika sahabat-sahabat mengetahui ada aksi mungkar dan tidak senonoh yang dilakukan di sekitar kalian. Sokongan moral daripada kalian adalah motivasi kami semua untuk berusaha lebih lagi, insyaAllah.

*Gambar yang dikongsikan adalah pertemuan saya dengan pegawai-pegawai JAKIM pada tahun lepas.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -