Amat malang ada golongan menyanggah titah YDPA

- Advertisement -

MASJID TANAH: Amat malang apabila terdapat segelintir warganegara dan pimpinan politik yang menyanggah keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memproklamasikan darurat.

- Advertisement -

Mereka bahkan mengeluarkan kata-kata seperti ‘darurat demi kedudukan Muhyiddin’; ‘takut hilang kuasa guna darurat’; ‘bergayut di pagar istana’; ‘tak dapat terima alasan darurat’ dan sebagainya.

Sama ada perbuatan ini dilakukan oleh orang biasa atau golongan ternama, secara terang-terangan atau terselindung, tindakan mereka ini boleh dipertikaikan kesetiaan mereka kepada Raja dan Negara.

Demikian dinyatakan Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Azman Yusof kepada HarakahDaily ketika diminta mengulas berkaitan isu ini.

Tambah Dr Azman, ia juga boleh dilihat sebagai suatu bentuk hasutan dengan niat jahat untuk menghilangkan hormat serta ketaatan rakyat terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan ini bukanlah dibuat secara tergesa-gesa. Pada 25 Oktober 2020 yang lalu telah ada usul kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memproklamasi darurat.

“Namun Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja berpendapat bahawa pada masa itu tiada keperluan yang mendesak sehingga perlu diisytiharkan darurat.

“Sebaliknya Baginda menasihati ahli-ahli politik supaya berpolitiklah secara matang dengan mengutamakan agenda negara khususnya dalam menangani pandemik COVID-19 dan mencari jalan merancakkan kembali ekonomi negara yang terjejas,” ujar beliau.

Namun, menurut Dr Azman, nasihat daripada YDPA itu seolah-olah dipandang sepi oleh sebilangan politikus yang rakus.

Tekanan demi tekanan dihenyak terhadap kerajaan Pakatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga fokus kerajaan untuk menangani masalah pandemik COVID-19 dan ekonomi, terjejas, ujarnya.

“Setiap hari jangkitan baharu COVID-19 terus meroket sehingga empat angka dengan kes kematian juga turut meningkat.

“Justeru, langkah bersejarah ini dilihat tepat pada masanya dalam usaha melandaikan kembali wabak pandemik COVID-19 setelah pelbagai usaha yang dilaksanakan sebelum ini didapati kurang berkesan,” kata beliau lagi.

Tambah Dr Azman, rakyat tidak perlu panik dan bimbang kerana proklamasi darurat pada kali ini berbeza berbanding proklamasi darurat pada tahun 1969 yang melibatkan perintah berkurung, undang-undang tentera serta kawalan ketat anggota keselamatan negara.

“Sebaliknya, sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, segala operasi dalam sektor awam dan swasta yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.

“Bahkan, andai kata kerajaan berjaya menangani wabak COVID-19 ini dalam tempoh yang lebih awal, maka pengisytiharan darurat ini akan ditamatkan pada tempoh lebih awal,” ujar beliau.

Dr Azman turut menyeru rakyat Malaysia menzahirkan perasaan kesetiaan kepada Raja dan Negara yang berteraskan kepada amalan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, semua pihak hendaklah menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong terhadap perkenan Baginda kepada proklamasi darurat ini,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -