Ustazah Salamiah harung arus deras sampaikan bantuan

- Advertisement -

TEMERLOH: Sebaik menerima maklumat terdapat penduduk terkandas tanpa makanan serta terputus bekalan elektrik, tindakan segera terus digerakkan Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Info daripada Bilik Operasi Banjir PAS telah memaklumkan bahawa penduduk yang sedang berhadapan ujian tersebut adalah kalangan warga penghuni di Madrasah Pondok Ad-Diniah Pangsenam, di sini kelmarin dahulu.

Maklumat disahkan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Pusat, Dr ‘Uyun Abdul Malek itu terus dikhabarkan ke Ustazah Salamiah yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Pusat.

- Advertisement -

Tanpa lengah, Ustazah Salamiah bersama Setiausaha Muslimat PAS Cawangan Sungai Gau, Zainie Othman langsung ke kedai runcit berdekatan membeli barangan keperluan asas terutamanya makanan.

Dengan kemampuan seadanya, mereka dapat menyediakan 30 bungkusan mengandungi gula, garam, biskut, ikan kering, lilin dan ayam, selain sardin dan telur yang didapatkan daripada Bilik Operasi Banjir Kawasan.

Dalam keadaan arus banjir yang masih deras dan berkedalaman sekitar 2 meter, mereka berdua dengan dipandu bot oleh amilin tempatan, Hasan Uyub memberanikan diri mengharungi risiko tersebut.

Pun begitu keadaan yang amat bahaya itu menyebabkan mereka tidak dapat sampai ke lokasi, namun hasil komunikasi dengan pemilik madrasah, Ustaz Anuar Abdul Rahman, sumbangan itu berjaya diserahkan.

Kata Ustazah Salamiah, walaupun tidak berjaya sampai ke madrasah, beliau tetap bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan saudara seagama yang dalam kesulitan dan memerlukan bantuan seumpama.

Tambahnya, beliau berasa amat simpati dan sememangnya dapat merasai kesulitan ditempuhi para penghuni madrasah yang sebahagiannya adalah warga emas itu.

Kelmarin, Ustazah Salamiah juga menerima sumbangan daripada Muslimat PAS Negeri Selangor berupa barangan keperluan tidur dan peralatan dapur yang diagihkan di Kampung Insaf Lancang dan beberapa kampung lain.

Majlis serahan sumbangan telah dihadiri wakil Muslimat PAS Selangor, Norazlin Mohd Samsudin yang disambut juga oleh Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan dan Ahli Jawatankuasanya.

Sumbangan tersebut sebagai berkongsi beban dengan para mangsa setempat di mana Temerloh mengalami antara kesan yang agak dahsyat melibatkan kemusnahan harta benda dan kerosakan kediaman.

Di JERANTUT dan KUALA KRAU, Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia dipimpin sendiri Dr ‘Uyun juga menggerakkan bantuan kepada mangsa banjir yang terputus perhubungan di pedalaman terutamanya.

Beliau bersama anggota Muslim Care Malaysia (MCM) telah menempuh laluan sukar menaiki pacuan empat roda, termasuk air banjir serta arus deras setinggi 2 meter dengan menaiki bot untuk tujuan itu.

Usaha beliau mendapatkan barangan di kedai-kedai runcit kedua-dua bandar itu juga terbatas berikutan stok terhad dan kebimbangan peniaga akan kehabisan dalam masa terlalu cepat berbanding permintaan.

Beliau dalam pada itu terus mengajak orang ramai yang dermawan untuk berkongsi rezeki dan kasih sayang dengan mangsa banjir kerana terlalu besar beban ditanggung mereka kesan musibah kali ini.

Para dermawan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 060 280 100 190 21 atas nama Dewan Muslimat PAS Pahang. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -