Syarikat sarung tangan disiasat, kilang ais langgar syarat

- Advertisement -

IPOH: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan ke atas sebuah syarikat sarung tangan  di kawasan perumahan Tasek di sini yang didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah JTK Perak Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata siasatan itu dijalankan selepas pihaknya mengesan kesalahan di salah sebuah daripada asrama tempat penginapan pekerja yang dimiliki syarikat berkenaan dalam operasi dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan negeri pada November tahun lepas.

“Kita akan meneruskan tindakan dan kini dalam proses akhir untuk pendakwaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ops Khas ke Atas Asrama dan Penginapan Pekerja di bawah Akta 446 melibatkan 15 anggota JTK Perak yang dijalankan di sekitar Chemor di sini hari ini.

- Advertisement -

Kesalahan yang dikesan ketika operasi di syarikat sarung tangan berkenaan antaranya tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah pekerja yang menginap.

Operasi itu turut mendapati aspek kebersihan di tempat penginapan terbabit terabai dengan keadaan dalam rumah berselerak selain tempat penginapan terbabit tidak mempunyai surat perakuan penginapan dikeluarkan JTK.
 
Sekiranya sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 untuk seorang pekerja.

Mengenai operasi yang dijalankan bermula pukul 10 pagi tadi di beberapa asrama pekerja sebuah kilang plaster siling, Muhamad Fauzi berkata pihaknya mengesan kilang berkenaan turut gagal mematuhi peruntukan ditetapkan mengikut Akta 446 malah tidak mendapatkan perakuan penginapan pekerja daripada JTK.

“Pemeriksaan mendapati keadaan asrama terlalu daif, kotor dan tidak sepatutnya majikan memberi kemudahan yang sebegitu kepada pekerja.

Kalau mengikut peruntukan undang-undang, majikan perlu menyediakan tandas, tempat masak dan tempat tinggal yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati ruang antara dua katil jenis dua tingkat kurang dari 0.7 meter yang dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja.

Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuka ke atas majikan syarikat plaster siling berkenaan di bawah Akta 446 bagi tindakan lanjut.

Katanya JTK memulakan tindakan penguatkuasaan pada tahun ini selepas pihaknya memberikan pendidikan kepada para majikan supaya memohon sijil penginapan daripada JTK dan majikan yang gagal menyediakan perkara ditetapkan di bawah undang-undang di asrama penginapan pekerja akan dikenakan tindakan.

Di MELAKA, dalam perkembangan sama, sebuah kilang pembuatan ais di Bukit Gedong di sini, dikesan melakukan empat kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, Rosli Jantan berkata ia termasuk mengabaikan aspek keselamatan penginapan pekerja warga asing termasuk menjadikan ruang bawah tangki air sebagai tempat penginapan pekerja mereka.

Beliau berkata kesemua 14 pekerja warga Nepal di kawasan kilang juga ada sebahagiannya turut ditempatkan di kontena yang diubah suai sebagai kabin selain satu bilik turut menempatkan pekerja melebihi kapasiti dibenarkan.

“Kami dapati majikan juga tidak mempunyai pengakuan penginapan selain tidak mempunyai permit penginapan sementara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Majikan juga tidak menyediakan kemudahan asas seperti almari, tilam, peti kecemasan dan sebagainya selain tahap kebersihan di sini adalah tidak memuaskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 
 
Pada operasi bersepadu JTK Melaka selama satu jam itu, ia turut melibatkan kerjasama Jabatan  Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Rosli berkata berdasarkan semua kesalahan yang dikenal pasti itu, majikan berkenaan boleh dikenakan kompaun sehingga RM100,000 selain mendapati pekerja di situ juga didapati tidak menjalani ujian saringan COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 95 peratus majikan di negeri ini masih belum memohon perakuan penginapan daripada JTK bagi menyediakan penempatan pekerja asing.

“Setakat ini sebanyak 82 majikan telah memohon pengakuan penginapan namun hanya 17 permohonan lengkap diterima manakala 48 permohonan tidak lengkap, satu permohonan ditolak, sebelas diluluskan dan tujuh dalam proses,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -