Siapa mereka yang tak senangi darurat diisytiharkan?

- Advertisement -

SAYA lihat banyak juga yang berkomen tak puas hati dengan pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan dan YDPA. Saya cuba mencari di mana tidak kenanya pengisytiharan itu, namun saya tidak temui khilaf yang boleh dipertikaikan apatah lagi diremehkan institusi Raja berperlembagaan yang sedia ada. Seolah-olah YDPA saja-saja nak isytihar darurat. Yang lebih dahsyat lagi ada yang cuba nak gambarkan bahawa YDPA jadi Pak Turut kepada Kerajaan PN. Di mana tidak kena-nya pengisytiharan itu?

(1) Tidak menyalahi Perlembagaan yang ada, kerana dalam Perkara 150 Perlembagaan Malaysia berkaitan Proklamasi Darurat menyebut;

(i) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

(2) Menepati Maqasid Syar’iyyah: Antara perkara penting Maqasid Syar’iyyah Al-Khamsah ialah menjaga nyawa. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang sentiasa bertindak mementingkan kebajikan rakyat dan keselamatan mereka. Disebabkan peningkatan wabak COVID-19, maka kerajaan perlu memastikan wabak ini dapat dikurangkan kalau pun tidak dapat dihentikan sepenuhnya. Sifat kebertanggungjawaban kerajaan sepatutnya dilihat dengan pandangan positif.

- Advertisement -

(3) Tiada sebab untuk menyanggahi keputusan YDPA dan kerajaan. Kerana berdasarkan dua perkara di atas sudah cukup menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat. Sedangkan sekiranya terdapat keputusan yang tidak disenangi pun kita diminta mentaati pimpinan dan berkerjasama dengan mereka; Sabda Rasulullah S.A.W;

عَنِ النَّبِيِّ قَالَ: ” مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ، فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنَ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً “

“Barang siapa merasa benci kepada pimpinannya (kerana kesalahan pimpinan) hendaklah ia bersabar. Kerana bahawasanya barang siapa keluar dari ketaatan kepada Sultan atau pimpinannya kadar sejengkal,maka jika ia mati, matinya itu dalam jahiliyyah.”

Itu jika benci kerana kesilapan dan kesalahan pemerintah. Maka apatah lagi jika benci kerana bukan faktor kesilapan dan kesalahan pemerintah. 

Ada yang berkata tidak perlu kepada pengisytiharan darurat kerana sebenarnya angka peningkatan penularan COVID-19 itu hanya dibuat-buat dan direka-reka untuk menjustifikasikan tindakan kerajaan bertujuan menghalang PRU diadakan. 

Saya tidak mahu mengulas apakah angka itu benar ataupun tidak. Tetapi apa yang ketara orang yang berkata angka itu tidak benar juga tidak mampu membuktikan ianya tidak benar dan tidak pula mampu mengemukakan angka yang sebenar. Bermakna mereka juga tidak pasti. Suatu yang berada dalam ketidakpastian tidak boleh dijadikan landasan untuk menghukum. Apatah lagi kaedah fiqh mengatakan orang yang berautoriti dalam suatu perkara lebih mengenali perkara tersebut dan perkataannya hendaklah dipegang. Maka dalam soal COVID-19 ini, KKM adalah badan dan agensi kerajaan yang berautoriti.

Untuk itu tiada sebab yang sah untuk tidak bersetuju dengan kerajaan dan YDPA berkaitan pengisytiharan darurat ini. Lagipun pengisytiharan darurat ini tidak mendatangkan kesan-kesan negatif pun kepada rakyat ramai, kerana aktiviti ekonomi dan pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa. Keterbatasan pergerakan rakyat dalam kepungan darurat tiada beza pun dengan keterbatasan PKP, PKPB dan PKPP. Cuma yang terasa terbatas sedikit ialah tak boleh adakan pilihan raya.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -