Proklamasi darurat solusi terbaik bendung wabak

- Advertisement -

KANGAR: PAS Perlis menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan proklamasi darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah terbaik untuk membendung wabak COVID-19.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Mohd Shukri Ramli berkata segala usaha proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 wajar disokong semua pihak termasuk pembangkang.

“Kesihatan dan keselamatan rakyat perlu menjadi agenda utama kerajaan dan keputusan ‘gencatan politik’ amat bersesuaian dengan keadaan yang berlaku sekarang.

“Ditambah pula terdapat negeri seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor yang mengalami masalah banjir.

“Oleh itu, pembentukan Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan amat bertepatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, walaupun Perlis semalam kembali ke zon hijau kerana tiada kes yang direkodkan, namun rakyat perlu sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebagai langkah memutuskan rantaian COVID-19, saya merayu kepada orang ramai agar terus berdisiplin mematuhi SOP dan semua peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Sungguh pun Perlis berada di zon hijau, kita janganlah leka kerana virus Covid ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat dan ia masih berleluasa di persekitaran kita.

“Marilah kita terus berdoa kepada Allah SWT semoga segera mengangkat musibah ini dan melimpahkan rahmatNya untuk kita semua khasnya dan dunia umumnya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Perlis kembali ke zon hijau setelah tiada kes yang dicatatkan semalam, sedangkan sebelum itu iaitu pada 10 dan 11 Januari Perlis mencatatkan lima dan tiga kes baharu. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -