Langkah wajar utamakan nyawa rakyat – BPPWP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pelaksanaan darurat.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa pengisytiharan darurat ini dibenarkan di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan sekiranya YDPA berpuas hati wujudnya ancaman besar ke atas keselamatan negara, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

“BPPWP berpendapat bahawa langkah ini sewajarnya diambil untuk memelihara nyawa semua rakyat terutama daripada ancaman COVID-19 dan banjir di beberapa buah negeri di samping meredakan kemelut politik yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.

”(Malah) BPPWP juga berpendirian bahawa pilihan raya bukanlah prioriti untuk diadakan dalam situasi gawat ini, tetapi melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 adalah hal yang lebih utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Azhar, pihaknya yakin bahawa proklamasi darurat ini tidak akan mengancam kestabilan pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri.

Kata beliau, buktinya boleh dilihat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya apabila darurat diisytiharkan pada 16 Disember tahun lalu.

Susulan itu, BPPWP menyeru agar semua rakyat Malaysia memahami keutamaan yang sepatutnya, bersatu hati walau apa jua fahaman politik demi menjaga kemaslahatan rakyat dan kestabilan politik negara yang tercinta ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan untuk tempoh sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda bertitah pengisytiharan ini sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19, di samping berkenan cadangan kerajaan untuk membentuk satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -