Jawatankuasa Khas Bebas bukti Kerajaan bersikap terbuka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas Bebas yang juga akan dianggotai Ahli-ahli Parlimen blok parti pembangkang bukti keterbukaan kerajaan dalam menimbang segala idea dan buah fikiran mereka.

- Advertisement -

Pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan diwakili oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan yang berkait.

“Jawatankuasa ini tidak dimonopoli oleh parti kerajaan, bahkan terdiri daripada pihak-pihak yang membuat keputusan berdasarkan fakta, data dan status penyebaran wabak.

“Keanggotaan jawatankuasa ini tentunya terdiri daripada pihak-pihak yang memainkan peranan utama dalam usaha menangani COVID-19 dan pihak yang menjadi penggerak utama institusi demokrasi di Malaysia,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Muhammad Fathi berkata, jawatankuasa berkenaan bukan menasihati Perdana Menteri ataupun Jemaah Menteri Kabinet tetapi diberi kuasa untuk menasihati secara langsung Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Beliau menambah, darurat ini bukan bertujuan untuk kepentingan politik kepartian kerana tempohnya boleh berubah melalui nasihat oleh jawatankuasa khas tersebut kepada Yang Di-Pertuan Agong, Baginda Al-Sultan Abdullah.

“Jawatankuasa tersebut akan ditubuhkan di bawah satu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkannya lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

“Prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan ini sentiasa menjadi keutamaan Al-Sultan Abdullah. Bahkan, sebelum memutuskan Proklamasi Darurat, Baginda terlebih dahulu mendapatkan taklimat daripada individu-individu terpenting negara.

“Iaitu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dato’ Abdul Ghani Salleh.

“Hal ini menggambarkan sikap terbuka Yang Di-Pertuan Agong bagi memastikan Proklamasi Darurat tidak menjadi alat politik oleh segelintir pihak yang berusaha mengganggu gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” kata Muhammad Fathi.

Ujarnya, ahli-ahli politik seharusnya menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama bukannya menimbulkan pertikaian dan polemik.

“Sekarang masa untuk menumpukan usaha mengatasi COVID-19 dan memulihkan ekonomi, bukannya berkonflik.

“Pemimpin politik termasuk pembangkang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat sebagai warganegara yang setia kepada Raja dan negara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -