Jangan ingkar Titah Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyeru semua pihak termasuk dari kalangan pemimpin politik pembangkang dan kerajaan patuh dan menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi kesejahteraan dan keutamaan rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Menurut Ketuanya, Ustaz Rizuan Rahmat, tindakan perisytiharan atau proklamasi darurat adalah satu tindakan tepat ketika ini yang dilihat mampu menstabilkan kekacauan politik negara yang kian sukar untuk dibendung.

Bahkan, ia satu langkah terbaik dalam membendung penularan COVID-19 yang berkait rapat memandangkan perisytiharan tersebut sekaligus dapat mengelak sebarang pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), ujarnya.

Tambah beliau, pihak yang tidak bersetuju dengan perisytiharan darurat ketika ini adalah derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong tidak kira apa alasan sekalipun.

Sementara itu katanya, rakyat dan semua pihak dinasihatkan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya usaha pihak berkuasa, kerajaan dan rakan sejagat untuk membendung penularan wabak membuahkan hasil dan tidak sia-sia.

Jelasnya lagi, dalam menghadapi kedua-dua isu iaitu politik dan COVID-19, kunci bagi kemenangan untuk rakyat adalah kesatuan untuk menentang mereka yang zalim, tidak berperikemanusiaan serta mementingkan hal sendiri berbanding hal rakyat.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi HarakahDaily petang tadi.

Semalam, Yang Di-Pertuan Agong memberi perkenan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin.

Karanya, Yang Di-Pertuan Agong memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sekiranya angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Selain itu, Yang Di-Pertuan Agong turut berkenan cadangan kerajaan membentuk satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -