Darurat satu langkah tegas- Dato’ Razali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memerangi wabak Covid-19 ada kebijaksanaan hikmah demi kesejahteraan negara.

Pengerusinya, Senator Dato’ Razali Idris berkata pengisytiharan Proklamasi Darurat merupakan satu langkah yang berani, ada ketegasannya dan menepati pada kewajaran suasana yang difikirkan baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.

- Advertisement -

“Umum perlu memahami dan mengetahui bahawa antara perkara Proklamasi Darurat membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19 dengan lebih serius di negara ini.

“Umum perlu memahami dan mengetahui bahawa Yang di-Pertuan Agong perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Umum perlu memahami dan mengetahui bahawa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bertujuan membendung wabak merangkumi hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambilalihan sementara tanah, bangunan atau harta hospital swasta dan penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga mengambil maklum sepanjang Proklamasi Darurat ini menyebabkan penggantungan sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membawa maksud bukan bermakna kedua-duanya dibubarkan.

Justeru itu, katanya, soal Proklamasi Darurat tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak tertentu sehingga ada usaha mencelarukan negara dan kebijaksanaan keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati dan diterima oleh semua pihak dengan baik.

Tambah beliau lagi, dalam hal ini, Kerajaan turut mengumumkan suatu Jawatankuasa Khas Bebas, dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan akan ditubuhkan bagi memperakukan jaminan pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan keperluan melibatkan kumpulan Ahli Parlimen Dewan Negara selaku badan tertinggi institusi keparlimenan dan negara dalam Jawatankuasa Khas Bebas ini berdasarkan kepakaran dan pengalaman sedia ada.

Selain itu, kata beliau Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga prihatin dengan aktiviti ekonomi perlu terus berfungsi sepanjang tempoh darurat tertakluk pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kebenaran melaksanakan aktiviti ekonomi sangat penting dalam usaha Kerajaan memulihkan semula ekonomi negara termasuk pihak yang terjejas teruk dari segi perniagaan dan pekerjaan. Yang penting, jangan abaikan rakyat dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam kembali pada paras normal yang baharu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -