Sokong Proklamasi Darurat – Kamaruzaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan taat setia dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata pelaksanaan darurat ini adalah bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin tidak terkawal sekarang.

- Advertisement -

Susulan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak perlu bimbang dengan tindakan ini kerana ia hanyalah pelaksanaan darurat kesihatan yang tiada kaitan dengan pemerintahan tentera.

“Saya ingin tekankan kepada rakyat Malaysia bahawa darurat yang dilaksanakan ini bukanlah undang-undang yang menjadikan negara diperintah oleh tentera, jalan raya dipenuhi dengan kereta kebal dan anggota tentera yang mengawal keselamatan negara.

“(Sebaliknya) Darurat ini hanyalah darurat kesihatan susulan merebaknya pandemik Covid-19 ini,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, langkah yang diambil oleh pihak kerajaan ini adalah untuk memastikan usaha bagi menangani pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan baik dan berkesan tanpa diganggu oleh perkara-perkara yang boleh menganggu fokus kerajaan.

Dalam masa yang sama, Kamaruzaman yakin bahawa pelaksanaan darurat ini akan membentuk sebuah kerajaan lebih stabil tanpa ganggu gugat oleh ‘politiking’ yang beoleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam negara.

Beliau berharap semoga pelaksanaan darurat ini akan memberi natijah yang baik dalam suasana menghadapi krisis pandemik Covid-19.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan untuk tempoh sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda bertitah pengisytiharan ini sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Di samping itu, baginda pekenankan cadangan kerajaan untuk pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -