Rujuk cara Islam atasi wabak – GU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 yang semakin merunsingkan, Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) mengajak umat Islam kembali merujuk kepada Islam.

Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ustaz Kamalulhysham @ Farhan Mohd Suhu berkata, beristigfar, bermunajat dan sebagainya sentiasa diperingatkan namun dalam masa sama program di kaca televisyen masih menyiarkan rancangan berbentuk realiti hiburan yang melampau dan lagha.

- Advertisement -

“Dalam kita menghadapi pandemik ini kena rujuk kembali kepada Islam kerana bila diuji oleh Allah SWT, Allah berfirman ‘kamu kena rujuk kembali kepada Aku dalam keadaan kamu merendah diri’.

“Kamu perlu muhasabah diri sebab apa sahaja yang berlaku di atas muka bumi ini bukan sahaja merupakan ujian daripada Allah tetapi kena ingat bagi pihak kita, maksiat yang dilakukan,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut Ustaz Kamalulhysham berkata, kadang-kadang maksiat yang dilakukan itu dalam maksiat politik, pemimpin yang rakus, merebut kuasa dan kesannya kepada rakyat.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh peringkat kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak agama Islam negeri-negeri begitu juga dengan individu-individu khususnya orang yang beriman untuk rujuk kembali kepada Allah SWT.

“Oleh kerana kita bermuamalah (berurusan) dengan makhluk Allah yang bernama Corona, jadi kita perlu kembali kepada Allah yang menciptakan seluruh makhluk di atas muka bumi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak terlambat memandangkan jumlah angka kes hari demi hari semakin besar.

“Saya khuatiri PKP ini tidak memberi impak yang baik kepada tujuan atau objektif diadakan untuk menyekat penularan Covid-19,” katanya.

Ustaz Kamalulhysham dihubungi Harakahdaily bagi mengulas situasi negara yang berlaku pada hari ini ekoran pandemik Covid-19 mencanak naik kes jangkitan mencecah empat angka saban hari sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu semalam, kerajaan mengambil langkah mengumumkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara mulai Rabu (esok) 13 Januari sehingga 26 Januari.

Langkah ini dibuat selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meramalkan kes harian akan mencecah 8,000 pada Mac depan sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Pelaksanaan semula PKP, PKPB dan PKPP bertujuan melandaikan dan menurunkan semula kes jangkitan Covid-19.

Penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal.

Sehubungan itu, pada hari ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan meluluskan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan itu dibuat selepas baginda memperhalusi cadangan itu yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, petang semalam. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -