Rakyat Perlis sokong laksana darurat kesihatan

- Advertisement -

KANGAR: Rakyat Perlis menyambut baik pelaksanaan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka sekarang.

Wan Nurul Wan Wahidah Wan Mustapha Bakri, 32 berkata, beliau sangat bersetuju dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berikutan situasi yang sedang melanda Malaysia ketika ini.

- Advertisement -

Katanya, melalui pengisytiharan itu semua pihak termasuk pembangkang boleh fokus kepada kebajikan rakyat tanpa ada lagi kerenah politik.

“Pemimpin perlu ketepikan segala agenda peribadi dan kerakusan politik masing-masing, berikan sehabis baik untuk rakyat jelata.

“Ekonomi negara perlu distabilkan, lekuk Covid perlu dilandaikan, derita mangsa banjir perlu diambil cakna,” katanya di sini.

Mohd Faizal Azmi, 43 yang ditemui Harakahdaily berkata dia bersetuju langkah kerajaan mengisytiharkan darurat kesihatan demi kestabilan politik dan keharmonian rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 dapat dikawal dengan berkesan.

Perkenan itu diberikan selepas Al-Sultan Abdullah memperhalusi cadangan yang disembah Perdana Menteri di Istana Negara petang, semalam.

Ia mengenai keputusan jemaah menteri kabinet mencadangan pelaksanaan Pengsiytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu juga, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas pagi tadi berkata pengisytiharan darurat di seluruh negara bukan bermaksud rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak dikenakan.

Kata beliau kerajaan orang awam akan terus berfungsi.

Semalam, Muhyiddin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan terhadap lapan negeri, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di dua negeri.

PKP, PKPB dan PKPP berkuat kuasa pada Rabu (esok) 13 Januari sehingga 26 Januari.

HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -