Proklamasi Darurat: Tidak popular tapi perlu dan terpaksa

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Pengumuman YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi berkenaan Proklamasi Darurat yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah satu langkah perlu walaupun ianya di anggap tidak popular.

Peningkatan jumlah rakyat yang postif pandemik COVID-19 serta ujian banjir yang melanda di beberapa negeri menjadi asas cadangan darurat tersebut. Seperti yang telah dijangka, keputusan ini akan mendapat bantahan dari sesetengah pihak namun ia dilihat sebagai suatu tindakan perlu dan terpaksa dilakukan. Ini kerana keutamaan yang tidak boleh dipertimbangkan atau dinegosiasi ialah berkenaan keselamatan jiwa.

- Advertisement -

Bertepatan dengan Maqasid Syariah yang telah ditetapkan oleh Islam antaranya ialah menjaga nyawa atau jiwa maka kerajaan mengenepikan populariti semata-mata mahu memastikan seluruh rakyat akan lebih sejahtera di masa akan datang.

Selain itu, darurat ekonomi ini juga diharap akan mampu menstabilkan ekonomi dan politik tanah air tercinta. Mengurangkan haba politik yang agak tinggi kebelakangan ini juga akan menjadi asbab membantu menarik semula pelabur-pelabur asing untuk singgah dan berniaga di Malaysia.

PAS Johor menyokong sepenuhnya keputusan Perdana Menteri dan Ahli Kabinet serta mengharapkan rakyat Malaysia amnya, bangsa Johor khususnya berlapang dada menerima keputusan sukar ini. Ringan sama dijinjing berat sama dipikul. Sebaiknya waktu ini, semua parti dan jentera-jentera serta sukarelawan bersama berganding bahu turun padang membantu rakyat, saudara mara kita yang sedang diuji dengan banjir.

Hentikanlah polemik politik buat sementara, fokus kepada kebajikan rakyat kerana sekarang ini merupakan masa yang sesuai untuk kita buktikan bahawa kita memang selayaknya dipilih menjadi pemimpin kerana prihatin dan sedia bekerja untuk rakyat. Kendurkan segala ketegangan semasa, semua pihak harus sepakat dan berganding tenaga menjiwai serta menyelami kesusahan rakyat.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)
12 Januari 2021 | 28 Jamadil Awal 1442 – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -