Pasaran modal beroperasi, sektor ekonomi masih dibuka

DALAM dunia mengharungi COVID-19, antara pandemik terburuk dalam sejarah, kerajaan-kerajaan serata dunia telah menyediakan sekitar ASS11.7 trilion dalam bentuk langkah-langkah rangsangan ekonomi bagi melindungi nyawa kelangsungan hidup. Kerajaan Malaysia juga telah bertindak secara pantas dalam menangani krisis COVID-19 melalui empat pakej bernilai RM305 bilion (ASS75 bilion) bagi membantu rakyat dan perniagaan. Turut menyokong usaha kerajaan ke arah pemulihan adalah langkah-langkah yang dilandaskan di dalam Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, penyusunan semula (structural reforms) yang akan diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, serta rekod pencapaian Malaysia yang cemerlang dari segi ketahanan ekonomi.

Namun begitu, walaupun dengan usaha pembendungan wabak COVID-19 yang cermat, jumlah jangkitan di Malaysia kian meningkat kadar jangkitan harian meningkat setinggi 3,027 kes 7 Januari 2021, dengan purata jangkitan baharu melebihi 2,000 kes sehari. Walaupun kadar kematian di Malaysia pada 0.4 peratus meletakkan negara ini di tempat 10 peratus paling rendah di dunia, peningkatan kes jangkitan harian telah memberikan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara.

Menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan darurat ekonomi dan kesihatan awam (‘Ordinan Darurat’) hari ini, serta pengumuman YAB Perdana Menteri semalam mengenai pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (‘PKP/PKPB/PKPP’), kerajaan ingin memberikan jaminan kepada semua rakyat Malaysia dan para pelabur bahawa pantadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan yang teratur, termasuk pasaran kewangan dan pasaran modal.

Advertisement

Pasaran modal Malaysia akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudahcara proses pengumpulan dana (fundraising), perdagangan dan pelaburan, dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP/PKPB/PKPP dan Ordinan Darurat. Kesinambungan operasi pasaran modal ini penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia, serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh tersebut.

Saya ingin menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, yang disokong oleh kecairan yang tinggi. Mekanisma pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal turun-naik (volatility). Dana pelepasan (clearing funds), serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan (clearing and settlement risk) sentiasa terurus. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bersama dengan Bursa Malaysia akan terus memantau semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran, dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan, berdasarkan kesesuaian.

Dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan diteruskan seperti biasa, dengan perkhidmatan yang terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam. Bank Negara Malaysia memantau keadaan pasaran bagi memastikan mudah tunai dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi, serta keadaan pasaran kekal teratur. Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi semasa tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan pelbagai variasi PKP ini.

Memandang ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di atas landasan pemulihan pada tahun ini. Yang lebih penting, kita mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan, jika perlu. Kementerian Kewangan juga telah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendukung rakyat dan perniagaan selama tempoh ini. Kita tidak akan berkompromi terhadap kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.

Asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan untuk bertindak secara berkesan terhadap persekitaran yang penuh cabaran, serta terus mempertahankan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi. Akhir sekali, saya ingin menekankan bahawa kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kelestarian jangka panjang bagi kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara.

YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 12/1/2021