PAS Paya Besar gerak ‘Ops Cuci Kole Lepeh’

- Advertisement -

LIPIS: PAS Kawasan Paya Besar telah mengadakan Ops Cuci Kole Lepeh 2021 melibatkan 150 anggota dalam kalangan pimpinan dan ahlinya bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kuala Lipis, di sini kelmarin.

Diketuai Yang Dipertua PAS Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yang juga ADUN Panching, operasi turut disertai sukarelawan PAS ini bertujuan membantu mangsa-mangsa banjir yang diuji dengan musibah tersebut.

Pimpinan PAS Paya Besar yang turut bersama adalah Timbalan dan Naib Yang Dipertua, Ustaz Hazmi Dibok dan Ustaz Shaharuddin Hussin serta Ketua Pemuda, Ustaz Mohd Fadzli Mohd Nor serta Komandan Amal, Mohd Nor Hisam Muhammad.

- Advertisement -

Juga Ketua Operasi Khidmat Malaysia, Mohd Fitri Abdullah dan Ketua Ameerah, Ustazah Siti Hajar Hasan Basri serta Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Pahang, Johari Abdul Wahid.

Keadaan lumpur tebal melanda setiap rumah sememangnya menyukarkan operasi pembersihan tersebut, namun kerja berpasukan dari kontinjen ini gigih mengatasi situasi tersebut di Kampung Pasu Putu dan Kerambit.

Turut menceriakan, apabila kehadiran kebanyakan mereka adalah bersama keluarga masing-masing memeriah dan menyerlahkan lagi perkongsian simpati kepada keluarga mangsa terjejas dengan musibah ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi malah menyifatkan kebersamaan mereka dalam operasi itu melibatkan ahli-ahli keluarga adalah teladan di mana menunjukkan juga kejayaan mendidik anak-anak.

Beliau menyifatkan langkah membawa ahli keluarga bersama menyelami jerih perit rakyat yang berdepan musibah adalah menjadi inspirasi kepada semua kalangan pencari redha Allah dan rindukan sedemikian.

Pihak PAS Paya Besar di samping operasi pembersihan itu juga turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas antaranya 100 unit dapur gas, tikar, cadar dan alatan kebersihan peribadi.

“Mereka yang biasanya terkena musibah banjir ini akan terkejut atau masih lagi dalam keadaan terkilan dan sedih apabila melihat semua barang-barang dalam rumah mereka rosak dan musnah. Apatah lagi mereka terpaksa mencuci rumah mereka yang sebahagiannya tenggelam sepenuhnya.

“Kehadiran kita kepada mereka ini memberi harapan dan juga kegembiraan kepada mereka kerana kita datang kepada mereka membantu bersih rumah mereka dan memberi sumbangan berbentuk barangan dan keperluan mereka.

“Dengan bantuan ini sebenarnya kita menanam sikap keprihatinan dan perikemanusiaan kepada saudara kita yang diuji oleh Allah S.W.T, dan semoga Allah Taala juga membantu kita di dunia dan di akhirat,” ujar Ustaz Tarmizi.

Terdahulu, PAS Paya Besar juga memberi bantuan di Maran dengan kekuatan tenaga seramai hampir 100 sukarelawan di mana penempatan di bandar Maran itu penuh dengan lumpur dan kerosakan harta benda.

Secara umumnya dari pemerhatian dibuat, hampir 90 peratus barangan terpaksa dibuang yang dapat diibaratkan mangsa seperti masuk rumah baharu selepas kediaman mereka dibersihkan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Prihatin Rakyat Paya Besar Maybank 5562 2640 4572 atau boleh menghubungi talian 0162640448. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -