PAS Indera Mahkota giat tangani masalah penduduk

INDERA MAHKOTA: Kuasa tular dari penggunaan teknologi maklumat kini telah membantu banyak perkara dalam masyarakat yang di luar pengetahuan dapat di ketengahkan kepada pelbagai pihak.

PAS Kawasan Indera Mahkota juga sering mengalami situasi sedemikian di mana hasil maklumat yang tular mengenai masalah warganya segera diambil tindakan untuk ditangani sewajarnya setiap isu.

Begitulah dengan nasib seorang ibu tunggal, Siti Aidilfitri Ramli yang mempunyai tujuh anak dalam tanggungannya berusia antara empat hingga 18 tahun tinggal menyewa di Kampung Tuan Beserah, Kuantan, di sini.

Advertisement

Beliau baharu sahaja kematian suami, Allahyarham Muhamad Riduan Mohammad Yoo yang bekerja sebagai pemandu jentera berat di mana telah meninggal dunia akibat darah tinggi pada 27 Disember lalu.

Sebelumnya, berikutan sakit saraf yang mengganggu kesihatan Allahyarham, beliau telah berniaga secara kecil-kecilan, namun akibat penularan COVID-19, beliau terpaksa kembali bekerja sebagai pemandu setelah pendapatan keluarga terjejas.

“Baru dua bulan arwah bekerja dan belum sempat merasa duit gajinya untuk dua bulan itu, Allah telah menjemputnya,” ujar Siti Aidilfitri ketika rombongan Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah berkunjung ke rumahnya kelmarin.

Pada pertemuan tersebut sumbangan berupa baucar keperluan sekolah bernilai RM100 diberikan kepada enam anaknya yang sedang bersekolah disumbangkan ADUN Beserah, Andansura Rabu.

Malah, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang terdahulu telah mengunjungi keluarga itu dan meminta Muslimat PAS Beserah Tengah menjadi pemudahcara kepada keluarga tersebut.

Kata Andansura, Muslimat perlu membantu untuk Siti Aidilfitri yang kini berniaga kecil-kecilan agar didaftarkan sebagai Ibu Tunggal Anggun Pahang dan juga dipohonkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, beliau selaku Yang Dipertua PAS Indera Mahkota telah bersama isteri, Nor Azni Wahab menjengah Operasi Misi Pasca Banjir oleh Muslimat PAS Indera Mahkota di Kampung Masjid Beserah, kelmarin dahulu.

Gerak kerja pembersihan dan menyampaikan sumbangan bersama Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal itu antaranya telah ke kediaman dua warga emas adik-beradik iaitu Khazimah Othman, 66 dan Zhaharudin Othman, 67.

Disebabkan mengidap kencing manis dan terlalu uzur menyebabkan keduanya belum pulang ke rumah yang diliputi lumpur tebal berikutan banjir dan masih berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Operasi digembleng tenaga oleh Naib Ketua Muslimat Indera Mahkota, Salbiah Seeni Abdul itu memaklumkan bahawa faktor berdekatan sungai menjadi punca kediaman itu paling terjejas teruk di lokasi itu.

Para dermawan yang berhasrat turut serta menyumbang kepada aktiviti PAS Indera Mahkota boleh salurkan ke akaun Bank Islam 6019010057792. – HARAKAHDAILY 12/1/2020