Kronologi Darurat di Malaysia

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Ia merupakan darurat yang kesembilan pernah diisytiharkan dalam sejarah negara ini.

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) jika darurat besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya telah wujud.

Advertisement

Di bawah Perkara 150 (2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam hampir berlaku.

“Terdapat tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat iaitu, ancaman ke atas keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
 
Beliau berkata sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan Ordinan, sekiranya Baginda berpuas hati hal atau keadaan tertentu, menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta.

Bagaimanapun kuasa berkenaan tertakluk pada Perkara 150 (6A) iaitu tidak boleh memperluas kuasa Parlimen berkaitan dengan hukum syarak, adat Melayu, adat-adat anak Negeri, serta tidak bercanggah dengan peruntukan sedia ada agama, warganegara dan bahasa.

Berikut adalah kronologi pengisytiharan darurat:
 
Darurat Tanah Melayu (1948-1960)
Darurat Tanah Melayu telah diisytiharkan British di Malaya (Semenanjung Malaysia) dari tahun 1948 hingga 1960 bagi menangani pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).
 
Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964)
Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan konflik yang berlaku akibat penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan darurat apabila tentera Indonesia menceroboh masuk ke sempadan Malaysia.
 
Sarawak (1966)
Kerajaan mengisytiharkan proklamasi Darurat di Sarawak pada 14 September 1966, susulan krisis politik melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
 
Rusuhan Kaum 13 Mei (1969)
Peristiwa 13 Mei merupakan insiden rusuhan kaum pada tahun 1969 susulan pilihan raya umum Malaysia pada tahun itu.
Parlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara.
 
Kelantan (1977)
Darurat telah diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra yang juga Sultan Kelantan ketika itu pada 8 November 1977.
Pengisytiharan itu dibuat susulan krisis politik melibatkan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir.
 
Jerebu (1997, 2005, 2013)
Selain darurat yang berpunca daripada isu politik dan konflik antara kaum, darurat jerebu juga pernah diisytihar pada 1997 (Sarawak), 2005 (Klang) dan 2013 (Muar dan Ledang).

Darurat itu dilaksanakan susulan pencemaran udara yang berbahaya dan tidak sihat.
 
Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 November 2020.

Pengisytiharan itu sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik COVID-19.
 
Darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya (2020)
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020.

Ia sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan yang dijadualkan serentak pada 16 Januari 2021.
 
Pengisytiharan Proklamasi Darurat (2021)
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal. – BERNAMA