Kerajaan berfungsi seperti biasa, tiada rampasan kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah sepanjang tempoh itu kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa termasuk dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata perintah berkurung tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat dan jentera pentadbiran serta perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.

“Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

- Advertisement -

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan awam akan terus berfungsi. Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan,“ katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
 
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat. 

“Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Ordinan Darurat diisytiharkan bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID19.

“Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.  
 
“Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata, sehubungan itu, kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta  termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban ditanggung terutamanya hospital awam.

Tegasnya, menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.  

Perdana Menteri berkata suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan akta ini dalam membendung penularan COVID-19.

“Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan menerusi kuasa ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan proklamasi lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. 

Kerajaan juga dalam pada itu katanya, memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan beliau akuinya, akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

“Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah,” katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata dalam tempoh berkenaan juga, kuasa eksekutif Persekutuan akan meliputi perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi hukum syarak dan adat Melayu, undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak, agama, kewarganegaraan serta bahasa iaitu selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk memastikan amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini.
 
Sementara itu, perdana menteri berkata kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan Darurat juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan bagi tempoh pandemik ini.

“Suatu ordinan boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau undang-undang penguatkuasaan lain berkaitan,” katanya.

Beliau berkata ATM juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik COVID-19 ini.

Selaras dengan Proklamasi Darurat itu, beliau berkata aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang tanpa izin dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara. – BERNAMA  

- Advertisement -