Jentera pentadbiran negara tidak terkesan – KSN

Pengisytiharan Proklamasi Darurat

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta, yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya, berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuat kuasa.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata situasi itu berbeza dengan Proklamasi Darurat pada 1969, yang disebabkan oleh ancaman keselamatan dan menyebabkan pengawalan ketat anggota keselamatan negara bagi menangani keadaan tegang pada ketika itu.

Mohd Zuki berkata Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada waktu ini adalah untuk mengekang ancaman penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan sekali gus berisiko tinggi menggugat tiga asas utama dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
 
Mohd Zuki memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“Saya dan perkhidmatan awam akan terus menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menyokong Pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan.

Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat itu dapat ditamatkan lebih awal.

Penjawat awam dalam pada itu diminta kekal fokus kepada tugas masing-masing dalam usaha mengekang penularan COVID-19 sepanjang tempoh darurat COVID ini, gesa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara. 

“Sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung. Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

“Perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan masing-masing.

Katanya CUEPACS juga berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan dan  memberikan khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh darurat COVID-19 ini. – BERNAMA

- Advertisement -