Jambatan sedang diusahakan hubung Teluk Renjuna

Wakil rakyat ikhtiar untuk dapatkan jambatan agar tiada lagi penduduk 'terputus' dengan dunia luar

- Advertisement -

TUMPAT: Permohonan untuk mendapatkan sebuah jambatan sedang giat diusaha bagi menghubungkan bandar berdekatan di tanah besar dengan para penduduk perkampungan pulau mukim Teluk Renjuna, di sini.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, permintaan tersebut telah dikemukakan kepada perbincangan bersama kementerian terlibat agar masalah dihadapi para penduduk sejak sekian lama akan dapat diatasi.

Maklum beliau, perhatian permohonan itu telah berada dalam pengetahuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.

- Advertisement -

“Masalah (terputus hubungan) mereka alami ini adalah isu harian, bukan hanya ketika musim tengkujuh atau banjir. Setiap hari pun mereka terpaksa menggunakan bot untuk ke bandar berdekatan.

“Kerana masih belum ada jambatan yang menghubungkan kepulauan ini dengan tanah besar. Sekiranya dapat dibina jambatan, maka ia sekali gus dapat menyelesaikan masalah terputus hubungan yang dihadapi mereka.

“Ini adalah usaha yang pihak saya sedang buat untuk membantu semua penduduk di situ. Saya berharap cadangan dan usaha ini dapat dipertimbangkan dan mendapat sokongan pihak atasan,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II itu ditemui selepas penyerahan katil pesakit di bawah bantuan CSR NAFAS kepada asnaf dan sumbangan mesin hemodialisis kepada Hospital Tumpat, di sini semalam.

Kelmarin, Bernama melaporkan lebih 2,000 penduduk di situ berharap kebajikan mereka mendapat perhatian lebih ramai pihak selepas hampir tiga hari terputus bekalan makanan susulan gelombang ketiga banjir yang melanda Kelantan ketika ini.

Rata-rata penduduk mendakwa mereka terputus hubungan dengan ‘dunia luar’ berikutan arus sungai di setiap perkampungan pulau itu mengalir deras sejak Rabu lepas dengan paras air melebihi 10 meter.

Mengulas perkara itu, Che Abdullah menegaskan tiada isu kelaparan dihadapi penduduk kampung kepulauan berkenaan di mana beliau selaku wakil rakyat sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan warga setempat.

Malah, dalam tempoh tidak sampai sebulan ini beliau sendiri telah lima kali sampai ke kepulauan ini dengan menggunakan bot penduduk setempat dan pusat khidmat bagi memenuhi keperluan di situ.

“Dua hari terakhir ini saya berada di kepulauan tersebut dan petang semalam saya berada di beberapa perkampungan di sana, termasuk di Kampung Pulau Suri, untuk memberi bantuan bekalan makanan kepada mereka.

“Alhamdulillah mereka gembira dan pada dasarnya bekalan makanan mencukupi di sana dan mereka juga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan,” jelas beliau.

Dato’ Che Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan serta badan bukan kerajaan yang bersamanya menyerahkan sumbangan kepada penduduk di Teluk Renjuna berikutan terjejas banjir.

“Tidak ketinggalan juga terima kasih saya ucapkan kepada pihak media yang membawa isu kesusahan kehidupan rakyat di kepulauan ini kepada pihak bertanggungjawab,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -