Di sebalik musibah banjir, jiran hadir bawa rezeki

RAUB: Di sebalik musibah banjir yang menyebabkan kesulitan dan kesedihan warga, tetapi bersamanya terdapat hikmah untuk tanah ini dijejaki hampir kebanyakan pemimpin dan bantuan dari seluruh negara.

PAS Kawasan Raub sendiri merasa bertuah menjadi tuan rumah para sukarelawan PAS dari seluruh negara yang hadirnya mereka bertujuan mencurah bakti meringankan kelelahan dialami para penduduk.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar selaku juga ADUN Tanjung Lumpur antara pemimpin yang sanggup bergelumang kekotoran kesan banjir membersihkan kediaman mangsa, kelmarin.

Advertisement

Keberadaan beliau itu sekali gus membuka tangan menyambut mesra delegasi PAS Negeri Terengganu yang datang ke Majlis Menerima Penyerahan Sumbangan Bantuan Banjir PAS Kawasan Kuala Terengganu.

Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga ADUN Wakaf Mempelam sendiri mengetuai serahan bantuan dari sumbangan terkumpul penduduk negeri jiran itu.

Kehadiran besar mereka dengan tiga lori treler membawa peralatan seperti keperluan tidur dan pakaian itu sememangnya menjadi rahmat buat mangsa setelah milik sendiri musnah dalam banjir tersebut.

Hadir sama dalam rombongan besar itu adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan juga ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor serta ramai lagi yang lainnya melibatkan tiga bas.

Mereka telah bersama bertungkus-lumus melakukan kerja pembersihan di kediaman mangsa-mangsa banjir antaranya di Maahad Tahfiz Muhammadi Ulu dan Ulu Sungai serta Mukim Gali dam Dong.

Malah terdahulu sebelum itu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali juga turun ke Raub dan menyampaikan sumbangan RM300,000 untuk kepentingan penduduk. – HARAKAHDAILY 12/1/2021