Darurat: Manifestasi kebijaksanaan YDPA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menyifatkan keputusan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini merupakan manifestasi kebijaksanaan Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Alhamdulilah bersyukur kepada Allah SWT, kerana negara ini telah dianugerahkan seorang raja juga pemimpin negara yang hebat dan bijaksana serta sangat prihatin kepada rakyat jelata iaitu Al-Sultan Abdullah,” ujarnya.

- Advertisement -

Sementara itu, beliau turut berkata negara juga bertuah mempunyai seorang Perdana Menteri yang gigih, berjiwa besar dan penyayang dalam menghadapi cabaran getir yang dihadapi oleh negara dan juga dunia seperti pandemik Covid 19, banjir besar serta situasi politik mutakhir yang rencam.

“Kesabaran rakyat yang berbilang kaum dan agama yang masih kuat mengekalkan perpaduan nasional merupakan benteng bernilai daripada terjerumus ke dalam jurang kehancuran,” katanya.

Sehubungan itu, katanya titah keputusan Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan bijaksana yang wajib dijunjung oleh semua kepimpinan negara dan semua lapisan rakyat jelata sementelahan pula ia adalah Maqasid Syariah bagi menjaga nyawa rakyat dan kesejahteraan negara.

Pada 11 Januari lepas, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyembah maklum permohonan memorandum Proklamasi Darurat bagi pertimbangan penuh bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan keputusan yang bijaksana pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sungguhpun begitu, katanya UMMAH yang mewakili lebih 500 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara akan terus menjadi benteng dan mata rantai yang kuat kepada keputusan diatas.

“Maka kami mendokong penuh agar Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus memimpin Kerajaan Darurat ini. Kredibiliti beliau, kesungguhan dan kesabarannya sebelum ini telah membuktikan kepimpinan yang disenangi rakyat jelata,” ujarnya.

Dalam pada itu, UMMAH turut mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara terus terpelihara.

“Kami pohon kepada Tan Sri Muhyiddin pilihlah pemimpin yang berkredibilti, integriti dan prihatin rakyat membarisi Kerajaan Darurat ini dan tidak dilupa juga peranan NGO-NGO Islam supaya bersama-sama bagi memainkan peranan di atas mendekati dan menjadi jambatan rakyat kepada kerajaan.

“Kesepaduan raja, pemimpin dan rakyat merupakan fomula yang paling tepat bagi menghadapi kemelut negara yang sedang dihadapi sekarang, dan Proklamasi Darurat merupakan penawar yang paling mujarab kepada rakyat dan negara daripada seorang pemimpin yang bijaksana YDPA,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -