Darurat kesihatan demi kesejahteraan rakyat, negara

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Pengisytiharan darurat ini selaras dengan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pentadbiran negara diuruskan oleh YDPA disebabkan oleh suatu darurat besar iaitu gelombang COVID-19 yang terus meningkat secara mendadak.

- Advertisement -

YDPA dan Jawatankuasa Khas Bebas yang dilantik berperanan untuk meluluskan apa-apa Ordinan sekali gus menggantikan kuasa ahli politik.

PAS yakin dengan kebijaksanaan YDPA boleh membantu negara memberi fokus sepenuhnya dalam melaksanakan langkah-langkah proaktif memerangi COVID-19 sehingga berjaya melandaikan lekuk jangkitan.

Rakyat tidak perlu bimbang dengan pengisytiharan darurat ini kerana segala aktiviti terutamanya ekonomi boleh dijalankan seperti biasa.

PAS mengajak seluruh pimpinan dan rakyat untuk fokus menangani COVID-19 serta tidak mengganggu gugat usaha kerajaan dalam mengurus pandemik ini.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
12 Januari 2021 | 28 Jamadil Awal 1442 – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -