Bendung Covid-19: Langkah tepat- GENERASI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusinya, Ustaz Roslan Md Esa yakin dan percaya pengumuman itu bukan dibuat untuk suka-suka tetapi mempunyai asas kepentingan kepada rakyat Malaysia secara sejagat.

- Advertisement -

“Kita kena melihat bahawa isu Covid-19 ini adalah isu yang sangat sukar untuk ditangani berikutan ramai dalam kalangan kita yang bermudah-mudah dengan menganggap ia tidak berbahaya dan sebagainya.

“Seterusnya menyebabkan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP), arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dipatuhi.

“Manakala, apabila ia dilanggar menyebabkan kes-kes Covid semakin meningkat dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Harakah, hari ini.

Sementara itu, beliau menyifatkan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi sesetengah negeri setelah mengambil kira kepentingan umum dan seluruh masyarakat.

“Saya percaya rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka boleh beri kerjasama yang baik dan insya Allah dua minggu ini kita lihat hasilnya.

“Saya nasihat kepada semua untuk terus mematuhi SOP, mengikut arahan, jaga penjarakan dan memakai pelitup muka.

“Saya rasa norma baru kita kena terus konsisten selama mana pandemik ini masih belum reda,” ujar beliau.

Petang semalam, Perdana Menteri mengumumkan lapan negeri dikenakan arahan PKP (Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah), enam negeri PKPB (Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan) dan dua lagi PKPP (Sarawak dan Perlis).

Langkah itu dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 yang mencecah empat angka saban hari sejak akhir-akhir ini.

Menurut Muhyiddin, pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -