Ahli ekonomi jangka PKP 2.0 tidak bawa impak teruk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terjejas sekali lagi pada 2021 tetapi tidak seteruk berbanding sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan ketika dua gelombang pertama COVID-19 melanda negara pada 2020, kata ahli-ahli ekonomi.

Susulan PKP tahun lepas, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua menguncup sebanyak 17.1 peratus.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng berkata pemulihan yang dijangkakan tahun ini akan terbantut buat sementara tetapi momentumnya tidak akan tersasar daripada landasan memandangkan kemungkinan besar pandemik itu akan dapat dikawal dengan pengedaran vaksin tidak lama lagi.

- Advertisement -

“Impak ekonomi boleh ditangani dengan sokongan fiskal seterusnya bagi perusahaan kecil dan sederhana dan isi rumah. 

“Langkah perintah kawalan itu akan membawa kepada pengurangan sedikit dalam defisit fiskal dan metrik hutang tetapi penurunan sedikit 0.1 hingga 0.2 mata peratusan dalam KDNK boleh dipulihkan kembali apabila ekonomi pulih dengan segera tanpa sokongan kerajaan,” katanya kepada Bernama

Yeah berkata demikian sebagai reaksinya kepada pengumuman darurat pada awal hari ini. 

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan sepenuhnya yang akan dilaksanakan semula di beberapa negeri dan hari ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat yang akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos jika COVID-19 dapat dikawal. 

Pengumuman itu dibuat susulan peningkatan mendadak jangkitan kes COVID-19 yang amat membimbangkan.

Negara mula menyaksikan kes harian melepasi paras 3,000 pada minggu lepas yang menyebabkan sistem penjagaan kesihatan berada dalam keadaan tenat.

Yeah berkata pelaksanaan PKP yang terkini dijangka menjejaskan lagi perniagaan dan pekerjaan selain kesukaran berterusan yang dihadapi kumpulan berpendapatan rendah.

Beliau menggesa agar langkah bantuan Belanjawan 2021 dilaksanakan segera termasuk yang baharu sekiranya diperlukan untuk mengimbangi penggantian ekonomi memandangkan keseimbangan risiko telah beralih kepada kesihatan awam berikutan peningkatan jangkitan.

“Kerajaan mungkin perlu memperluaskan pemberian moratorium pinjaman dan bantuan lain yang disediakan dalam Belanjawan 2021 untuk disesuaikan kepada impak PKP terkini khususnya jika dilanjutkan melebihi dua minggu, yang dijangka berdasarkan kepada pelaksanaan sebelum ini pada tahun lepas,” katanya.

OCBC Bank, dalam nota penyelidikannya hari ini berkata dengan momentum pemulihan yang terjejas, ekonomi Malaysia akan lebih sukar untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 6.5-7.5 peratus seperti yang dibayangkan kerajaan.

“Oleh itu, Malaysia akan terus bergantung kepada sokongan monetari. Bank Negara dijangka menurunkan kadar dasar semalaman sekali lagi pada 20 Januari,” katanya.

Menurut bank itu, walaupun PKP tidak dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara seperti pada Mac dan April 2020, kawasan yang terlibat kali ini merupakan kawasan yang paling aktif dengan kegiatan ekonomi.

Katanya, lima negeri itu (Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sabah) dan Kuala Lumpur secara bersama-sama mendominasi 67.7 peratus kegiatan ekonomi negara.

Dalam pada itu, pasaran saham dijangka mengalami reaksi pantas bersifat sementara selain tindakan pelabur yang melakukan jualan panik.

“Sebagai contoh, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 11.77 mata apabila sesi awal dagangan berakhir pada tengah hari. Mungkin juga ada kalangan pelabur yang lebih berhati-hati dari segi minat risiko namun sentimen itu dijangka kembali seperti biasa pada jangka pertengahan kelak.

“Ini disebabkan kerajaan sedia ada akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat tersebut. Malah, pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu bukannya (membabitkan) satu bentuk rampasan kuasa tentera dan pelaksanaan perintah berkurung, sebagaimana yang dijelaskan oleh Perdana Menteri,” kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Pada 5 petang ini, indeks penanda aras FBM KLCI susut 5.21 mata untuk ditutup pada paras 1,612.04.

Bursa Malaysia juga kembali stabil selepas Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan sedia ada akan berfungsi seperti biasa, tiada rampasan kuasa oleh tentera mahu pun perintah berkurung dilaksanakan.

Mengulas selanjutnya, Adam juga menyifatkan sekiranya PKP kali kedua itu kekal selama dua minggu, kerugian ekonomi akibatnya tidak sebegitu ketara sepertimana PKP pertama pada suku pertama 2020.

Malah, jika PKP 2.0 itu dilanjutkan, impak akibatnya juga berkurangan atau paling buruk pun menyamai keadaan pada tahun lepas.

Menurutnya, ini berikutan PKP kali ini hanya membabitkan jumlah negeri yang kecil dengan sektor-sektor seperti kilang, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, pertanian dan penternakan disenaraikan sebagai sektor penting agar dapat terus beroperasi dengan melaksanakan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Selain itu, kalangan perniagaan dan pengguna juga telah dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu…mereka tahu bagaimana untuk menguruskan sumber serta berbelanja secara berhemat.

“Oleh itu, impak ekonomi itu tidaklah ketara sepertimana PKP pertama yang dikuatkuasakan pada Mac 2020,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -