Jutawan Islam juga sumbang penghasilan, beri vaksin

- Advertisement -

SIAPA kata jutawan Islam tidak menyumbang dalam pembangunan dan pembuatan vaksin? Bukan Bill Gates dan bini dia sahaja yang kaya-raya boleh menyumbang kepada pembangunan dan pembuatan vaksin tetapi jutawan dalam Islam pun boleh juga menyumbang demi ummah.

Cuba lihat contoh Raja Abu Dhabi ini arwah Syeikh Zayed Sultan Al Nahyan telah berjuta-juta Ringgit disumbangkan oleh beliau semata-mata ingin melihat vaksin ini diberikan kepada golongan yang terpinggir seperti di negara-negara Afrika dan negara dunia ketiga yang majoritinya adalah umat Islam.

Kemudian legasi Baginda Sultan diteruskan lagi oleh anakanda beliau Syeikh Mohammad bin Zayed Al Nahyan. Syeikh Mohammad ini adalah jutawan yang pertama memberikan sokongan dalam pembangunan dan pembuatan vaksin COVID-19 dan telah menyumbangkan kepada pertubuhan dunia sebanyak USD120 juta untuk tujuan itu. 

- Advertisement -

Walaupun sesetengah golongan mempertikaikan pengiktirafan negara-negara Arab kepada Israel, itu adalah urusan diplomatik negara mereka yang tidak perlu dilibatkan dengan pembangunan dan pemberian vaksin. Saya pun tidak bersetuju dengan pengiktirafan Israel itu. Sama jugalah dengan isu arak dan LGBT dalam negara kita, ia perlu ditangani dengan diplomatik dan tidak perlu dikaitkan dengan vaksin pun.

Tohmahan daripada sesetengah pihak yang menuduh bahawa vaksin itu adalah untuk membunuh umat manusia adalah juga tidak berasas sama sekali. Penderma yang bersungguh-sungguh untuk memberikan wang Ringgit serta harta mereka bukan berdasarkan agama pun tapi ianya adalah berdasarkan kepada kemanusiaan sejagat. Mereka berusaha untuk menyelamatkan umat manusia daripada terus dicengkam penyakit-penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut. 

Pemberian vaksinasi yang telah disumbangkan oleh para penderma itu telah berjaya menyelamatkan lebih daripada 14 juta kanak-kanak yang dijangka kalau tidak diberi vaksin akan mati akibat daripada serangan penyakit berjangkit seperti Polio, Difteria, Campak dan seumpama dengannya.

Kepercayaan kami dalam isu ini bukan melibatkan akidah pun. Ianya adalah melibatkan kebajikan dan juga melibatkan ikhtiar yang kita lakukan demi kebaikan kita bersama. Semoga masyarakat dan dapat memahami isu ini. 

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 11/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -