Hidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran di rumah

- Advertisement -

BALIK PULAU: Normal baharu dalam kehidupan masa kini memerlukan peranan ibu bapa untuk menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran ke atas anak-anak pelajar di rumah kediaman mereka.

Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, Ustazah Siti Mastura Muhammad berkata, perkara tersebut penting supaya anak-anak terus minat dalam pelajaran mereka di mana ia menjadi peluang bersama terhadap ibu bapa.

“Anak-anak ibarat kain putih di mana kita sebagai ibu dan bapa merekalah yang akan mencorakkan sama ada menjadi baik atau sebaliknya. Jadi jalankanlah amanah yang telah Allah S.W.T berikan dengan sebaiknya,” ujar beliau.

- Advertisement -

Mengakui peranan membentuk dan mendidik anak-anak di zaman ini sangat mencabar, beliau mengingatkan ibu bapa bahawa mereka mesti menjadi insan contoh dalam menyempurnakan tanggungjawab itu.

Siti Mastura berucap demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan ‘Jom Ke Sekolah’ anjuran Lajnah Kebajikan dan Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Balik Pulau di Dewan PERDA Teluk Kumbar, di sini kelmarin.

Seramai 200 bakal pelajar Tahun 1 menerima sumbangan tersebut yang bertujuan meringankan beban ibu bapa dan waris menjelang sesi persekolahan bakal bermula di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari ini.

Hadir sama adalah Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Mohd Taufik Hashim dan Abdul Rahim Sujak pada majlis ringkas, namun tetap ceria di sebalik prosedur operasi standard (SOP) ketat dikenakan.

Mohd Taufik dalam ulasannya menyatakan bahawa pihak PAS Pulau Pinang berusaha mendapatkan dana bagi memberi sumbangan itu agar anak-anak semangat melangkah ke sekolah tanpa ada keciciran.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary telah menyempurnakan program ‘Jom Ke Sekolah‘ Peringkat Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh pada 6 Januari lalu.

Pada majlis itu, 600 pelajar menerima sumbangan persekolahan bernilai RM170 seorang dan turut dihadiri ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -