Mangsa banjir di Kelantan dapat perhatian Kementerian Pertahanan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk yang tinggal di 11 kawasan Parlimen di Kelantan yang terjejas dan terlibat dengan bencana banjir mendapat perhatian Kementerian Pertahanan Malaysia.

Situasi banjir pada tahun 2021 berbeza berbanding tahun-tahun lalu kerana bukan sahaja penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bahkan turut berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan yang diberikan berlainan sedikit dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Tetapi kita beri barangan lain sebab kita tidak mahu bertindan dari bantuan ini, jadi kita lebih kepada pakaian, kain pelikat, telekung, tilam, bantal, selimut dan sweater kanak-kanak.

“Barang-barang ini kita sudah bawa dari Kuala Lumpur dan kita akan serahkan kepada pimpinan masyarakat di Kelantan ini atau kita akan hantar sendiri ke kawasan yang terjejas dengan bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan barangan bantuan kepada mangsa banjir melibatkan 11 kawasan parlimen Kelantan di Dewan Hamid Bidor, Kem Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Lapan Briged, Zamsari Abu Hasan dan wakil pemimpin tempatan, Akbar Salim.

Ismail Sabri juga Ahli Parlimen Bera berkata, Kementerian Pertahanan Malaysia melalui anak syarikatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad turut terlibat dalam inisiatif tersebut.

Kedua-dua syarikat terbabit ujar beliau lagi, akan memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan kepada penduduk yang terjejas dengan bencana sebagai tanda keprihatinan kementerian terhadap mangsa banjir.

Kementerian Pertahanan juga menyediakan aset kekuatannya dari udara dan darat, bersama kira-kira 5,000 anggotanya yang bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan, kecemasan serta memindahkan mangsa banjir ke lokasi lebih selamat. – HARAKAHDAILY 10/1/2021

- Advertisement -