Bantuan banjir digerak ke Kerdau dan Jenderak

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz telah menggerakkan usaha membantu mangsa banjir bersama Skuad Cakne Rakyat ke Balai Islam Kampung Jenderak, di sini semalam.

Beliau juga selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau telah menerima bantuan sumbangan Pertubuhan Iman Care untuk diagihkan kepada penduduk diiringi Pengerusi Cakne Rakyat Shafie Md Esa.

Turut bersama adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kuala Krau, Engku Nurzaman Engku Mohammad dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jenderak, Abd Aziz Abd Rahman.

- Advertisement -

Beliau yang disertai juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari dan Pengarah MTD Kerdau, Saharudin Salleh turut menerima sumbangan daripada Masjid Al-Munawaroh Seksyen 27 Shah Alam.

Difahamkan, keseluruhan sumbangan bantuan ini adalah bernilai sekitar RM20,000 kepada kedua-dua MTD di mana kemudiannya telah diagihkan kepada mangsa banjir di Dewan Darul Hikmah.

“Kita amat mengalukan sebarang sumbangan dari individu juga NGO yang ingin membantu juga setinggi kesyukuran kepada pihak luar yang jauh kerana sudi datang membantu dalam masa banjir ini,” ujar Ustaz Shahril.

Maklum beliau, setakat semalam semua Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Jengka yang sebelum ini menerima 426 mangsa daripada 74 keluarga telahpun ditutup setelah banjir surut dan mangsa pulang ke rumah.

Pun demikian akuinya, berikutan kediaman tenggelam dengan air kotor dan lumpur, maka akan digerakkan dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan untuk operasi pembersihan.

“Jadi untuk selepas mereka pulang di rumah ini, sudah tentulah mereka berdepan dengan barang yang rosak, rumah yang berterabur habis dia punya prasarana di situ. Sudah tentu mereka perlukan kepada keperluan-keperluan.

“Jadi yang utamanya ialah kita membantu mereka untuk membersih rumah dan kita telah pun merancang, dan kita ada rumah yang sudah pun kita bersihkan khususnya kita bersama dengan NGO Jabatan Amal untuk membersih rumah dan esok kita di Jengka 17 in sya Allah.

“Jadi kita sudah pun pergi ke rumah-rumah untuk mengenal pasti apa keperluan masa yang mereka perlukan sebahagian mereka yang perlu kepada tepung, mineral, pakaian wanita, dan ada yang dapurnya rosak tak boleh pakai langsung,” ujarnya.

Menurutnya, musibah yang melanda di Jengka tidak seteruk di Temerloh, Maran dan beberapa tempat lain, namun pihaknya akan berusaha membantu penduduk terjejas dengan ujian dihadapi itu.

“Harapan saya yang pertama sekali kita harap banjir reda di Pahang dan di Malaysia ini. Walaupun sekarang masih hujan, Cuma harapan kita supaya dia reda dan kita beramallah dengan apa yang Nabi ajar kita supaya berdoa dengan doa yang khusus itu, supaya Allah turunkan hujan.

“Kita perlu hujan, tetapi hujan ini diturunkan di kawasan lembah, di bukit, di kawasan yang ada tumbuhan yang memberi manfaat kepada kita. Yang kedua, saya mengharapkan supaya mangsa banjir ini tidak patah semangat dalam berdepan dengan ujian ini.

“Anggaplah bahawa ujian ini adalah untuk menjadikan kita insan yang betul-betul bertakwa, insaf dan merenung akan kebesaran Allah S.W.T. Dan ketiga saya mengharapkan mereka yang dermawan yang membantu ini tidak putus asa dalam membantu golongan-golongan mangsa banjir ini.

“Diharap mereka berterusan istiqamah memberikan bantuan dan terakhir saya harap supaya kita sentiasa peka dan waspada dengan suasana hujung tahun kalau kawasan kita itu memang dah banjir, jadi kita sentiasa peka dan bersiap daripada awal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/1/2021

- Advertisement -