Tidak patut PRU dalam tempoh wabak COVID-19

- Advertisement -

KERAJAAN PN, kerajaan paling rapuh di dunia! Ramai yang kata begitu. Saya pun setuju juga. Dalam keadaan tanpa wabak (dan tanpa banjir seperti sekarang) memang patut Parlimen dibubar segera. Biar ada mandat baru dari rakyat. Walaupun mandat baru belum menjamin wujud kerajaan yang kukuh, sekurang-kurangnya ada harapan untuk tamatkan kemelut politik yang tak berkesudahan ini.

Tapi semua kena akur kehendak Allah. Kita sedang berdepan dengan COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Hisham beberapa kali menyebut agar tidak diadakan pilihan raya dalam tempoh penularan wabak. Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman mengetuai beberapa pakar kesihatan telah menyerahkan surat merayu kerajaan agar tidak mengadakan PRU dalam masa terdekat.

- Advertisement -

Tapi tetap ada yang inginkan PRU dalam masa terdekat. Beberapa tokoh politik giat mencanang idea bahawa PRU boleh dilaksanakan dengan selamat dalam tempoh COVID-19 ini. Bagi saya dalam hal ini, antara orang politik dan pakar kesihatan, tentunya yang lebih diyakini adalah pakar kesihatan.

Pakar kesihatan bercakap berdasarkan realiti dan trend jangkitan serta risiko jika dilaksanakan PRU. Pengalaman sewaktu PRN di Sabah membuktikan akibat buruk mengadakan pilihan raya dalam situasi wabak.

Ada yang memetik kejayaan beberapa negara mengadakan Pilihan Raya Umum dalam tempoh wabak. Perlu diingat bahawa terdapat perbezaan yang perlu diambilkira bila kita ingin membuat perbandingan, antaranya:

(1) Tahap jangkitan yang sedang berlaku dalam negara yang dibandingkan.

(2) Budaya berkempen yang berbeza. Di Malaysia tradisi kempen pilihan raya adalah hangat. Walaupun diperkenalkan SOP seperti sewaktu PRN Sabah, namun ia tidak mampu mengawal keghairahan pemimpin dan petugas parti serta orang ramai untuk terlibat dalam kempen.

(3) Kemampuan badan penguatkuasaan untuk menguatkuasakan peraturan kempen pilihan raya. Dalam hal ini pihak PDRM dan SPR perlu dirujuk. Berdasarkan kenyataan yang pernah dikeluarkan ternyata pihak-pihak berkenaan mengakui kesukaran untuk menguatkuasakan SOP.

(4) Kerangka parti dan jentera politik akar umbi. Politik di Malaysia berbeza dengan kebanyakan negara lain kerana ia mempunyai parti politik yang mempunyai pengaruh yang meluas dan jentera yang menyeluruh dari peringkat pusat, negeri, bahagian Parlimen, bahagian DUN dan cawangan. Aktivisme politik yang mengakar ini menjadikan kempen pilihan raya sebagai aktiviti yang besar, meluas dan sukar untuk dikawal.

Ada juga yang mencadangkan agar pilihan raya diteruskan juga dengan SOP yang amat ketat dan tempoh kempen yang amat pendek. Cadangan ini adalah satu pilihan yang boleh difikirkan. Namun begitu, setiap pilihan raya perlu memenuhi beberapa elemen asas bagi memastikan ia benar-benar tulen, demokratik dan telus. 

Pengundi berhak untuk mendapat maklumat yang jelas berkaitan parti dan calon yang bertanding. Parti-parti dan calon pula mempunyai hak untuk diberi ruang yang mencukupi dan adil untuk menyampaikan mesej mereka. Selain itu, sebarang bentuk SOP, walaupun ketat dan tegas, ia hanya berkesan dan berjaya jika wujud penguatkuasaan yang menyeluruh, adil dan cekap. Ringkasnya, persoalan sama ada wajar atau tidak PRU dalam masa terdekat ini bergantung kepada situasi jangkitan wabak COVID-19.

Keputusan yang dibuat perlu bersandarkan perkiraan dari sudut kesihatan awam, kemampuan penguatkuasaan SOP, tahap pergerakan orang ramai waktu pengundian, dan imbangan antara keperluan amalan demokrasi dan penjagaan nyawa atau kesihatan rakyat. Ia bukan keputusan untuk kepentingan politik.

Kerajaan sewajarkan mewujudkan satu badan khas yang terdiri dari pihak-pihak yang mempunyai kepakaran untuk membuat keputusan termasuk dari pihak berkuasa kesihatan, SPR, PDRM dan seumpamanya untuk membuat syor kepada Kabinet yang kemudiannya, jika perlu mencadangkan pengisytiharan darurat kepada YDPA.

Jika diikutkan pengalaman di PRN Sabah, saya merasakan ia wajar ditangguhkan dahulu. Melainkan terbukti berlaku penurunan penularan wabak secara drastik dan konsisten. Tapi biarlah yang keputusan dibuat berdasarkan kajian oleh pakar-pakar.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 9/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -