Wakaf Air inisiatif sementara sebelum pembangunan kekal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau Wakaf Air hanyalah inisiatif bersifat sementara sebelum kerajaan membangunkan pengurusan bekalan air secara kekal di pedalaman.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia berikutan lokasi kawasan pedalaman kebiasaannya terletak jauh daripada paip utama pembekal atau operator air negeri, sekali gus memerlukan kos pembinaan yang tinggi

Justeru, katanya, langkah yang digerakkan oleh KASA dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan membantu penduduk pedalaman untuk mendapatkan bekalan air bertapis menerusi pembiayaan daripada tabung itu, sementara proses pembangunan dilakukan kawasan terlibat.

- Advertisement -

“… tanggungjawab kerajaan dan pembangunan akan terus dilakukan. Kementerian telah menerima senarai lokasi pedalaman yang memerlukan inisiatif tersebut, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Satu masa nanti, mungkin tempat itu juga akan dibekalkan air oleh operator air negeri,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Terdahulu dalam program Jendela Fikir, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan individu yang mendakwa diri mereka sebagai ejen Wakaf Air.

Katanya, sehingga kini, KASA tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi mengutip sumbangan dan sebarang sumbangan bagi inisiatif itu hanya secara dalam talian di laman sesawang YWM.

“Kita sedang berbincang untuk mudahkan orang ramai menyumbang seperti melalui agensi rasmi. Kita akan melantik wakil pusat zakat negeri, tetapi ini masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Setakat pertengahan Disember lalu, tabung ini telah menerima sumbangan lebih RM7 juta daripada pelbagai pihak dan hampir 30 permohonan untuk melaksanakan projek air di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim memberitahu, Wakaf Air akan menumpukan kepada pembiayaan projek perkhidmatan air yang merangkumi sumber air, bekalan air dan pembetungan dalam skala kecil dengan kos projek bernilai di bawah RM50,000.

“Peringkat awal, Wakaf Air akan tumpu pada projek penyediaan bekalan air bersih di kawasan luar bandar seperti perigi, pembelian alat ganti, perolehan tangki simpanan air dan sambungan paip dengan punca air,” katanya semasa pelancaran Wakaf Air pada 17 Disember lalu.

Wakaf Air adalah berkonsepkan model pembiayaan inovatif melalui pendanaan awam (crowd  funding) bertujuan mewujudkan akses rakyat luar bandar kepada sumber pembiayaan bekalan air yang mudah, cepat dan mapan.

Ianya diwujudkan dengan mempunyai beberapa ciri penting antaranya menerima sumbangan dalam bentuk tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk wakaf air melalui akaun yang dikhaskan. 

“Inisiatif ini penting bagi menyelesaikan isu liputan bekalan air luar bandar secara holistik melalui kerjasama strategik melangkaui sempadan bidang kuasa.

“Contohnya projek penggalian perigi, pembelian peralatan seperti pam, penyelenggaraan, pemasangan paip sambungan ke rumah, penyediaan tangki simpanan air dan lain lain.

“Dengan adanya Wakaf Air, kebergantungan kepada pembiayaan Kerajaan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan penglibatan awam dalam menjayakan agenda negara.

“Melalui kaedah ini, langkah-langkah mitigasi kewangan yang sesuai dan cepat dapat diambil bagi mengatasi isu kekangan peruntukan bagi membiayai penyelenggaraan, penyediaan infrastruktur air luar bandar,” ujarnya kepada Parlimen semasa Sidang Dewan Rakyat, 18 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -