Tak biar hasil bumi Kedah dijarah seperti dahulu

- Advertisement -

“DULU, banyak mana hasil galian yang ada di tempat kita yang depa bawa keluar begitu sahaja? Negara kita ini banyak hasil mahsul. Tapi depa (orang luar) mai ambik bawak balik macam itu saja. Kita tak dapat apa. Kena beli pulak dekat depa kalau kita nak guna.”

Beberapa kali Menteri Besar (MB) ulang ayat ini bila bercakap mengenai tajuk hasil bumi termasuk REE (Rare Earth Elements). Setiap kali MB sebut ayat ini, setiap kali itulah kami dengar dengan teliti kalimah-kalimah yang terbit daripada mulutnya. 

Memang kalau bercakap mengenai bab orang luar yang masuk campur hal dalaman Negeri Kedah, nada MB akan jadi serius. Hilang seketika gurau tawanya ketika ini. Inilah puncanya MB marah kepada Pulau Pinang. Masuk campur hal ehwal Kedah, terutamanya hal berkaitan Hutan Simpan Ulu Muda, nak ajar Kedah suruh buat itu ini. 

- Advertisement -

Hilang kedaulatan sesebuah negeri kalau ada orang luar suruh buat begitu begini. Kalau nak bagi pandangan, boleh. Tapi jangan sampai nak mengajar supaya tak boleh buat macam itu, kena buat macam ini. Itu melampau. 

“Barang (hasil galian) itu jumpa kat tempat kita. Depa mai ambik bawak balik tempat depaDepa kaya raya. Kita satu apa pun tak dapat!”. 

MB menyambung kata-katanya. Nadanya sedikit tinggi dari sebelumnya. Sambil menepuk belakang tangan kanannya ke tapak tangan kirinya. Memang itu gaya MB bila ‘naik syeikh’. Makin tinggi ‘syeikhnya’, makin kuat bunyi tepukan tangannya.

“Dalam Islam tak boleh macam itu. Hasil mahsul di satu-satu negeri itu mesti dapat manfaat kepada negeri itu dulu. Lepas itu barulah disalurkan ke tempat lain”, sambung MB lagi. Nadanya masih tinggi. Tegas. 

Apa yang MB ucap itu sama dengan apa yang diajar oleh sebilangan besar pensyarah-pensyarah bidang TasawurPembangunan Islam di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, USM. 

Di dalam Tasawur Pembangunan Islam, hasil mahsul sesuatu tempat itu mesti dinikmati oleh penduduk di tempat itu terlebih dahulu. Setelah itu barulah ia disalirkan ke tempat lain. 

Berbeza di dalam Tasawur Pembangunan Lazim. Untuk membangun, negara mundur perlu bergantung kepada negara maju, walaupun negara yang dikatakan mundur itu ada hasil mahsul yang pelbagai. 

Negara yang ada getah perlu jual getah kepada negara yang maju untuk diproses. Setelah siap diproses, getah itu akan dijual semula kepada negara pengeluar dengan harga yang lebih mahal. 

Teori ini dikenali dengan nama ‘Teori Strukturalis’. Satu aliran pemikiran pembangunan yang radikal. Teori ini lahir bagi menyaingi falsafah pembangunan neo-klasikal yang diasaskan oleh W.W Rostow ketika itu. 

Kemudiannya lahir pula ‘Teori Pergantungan’ yang mengkritik ‘Teori Strukturalis’ tadi. Teori ini mengkritik kebergantungan sesuatu negara pengeluar kepada negara yang memproses. Teori ini cenderung supaya hasil bumi itu diproses sendiri tanpa bergantung kepada negara lain. 

Walau bagaimanapun, Teori Pergantungan ini turut dikritik kerana mesin yang digunakan untuk memproses tetap diambil dari negara luar. Walaupun bahan itu diproses sendiri, namun hakikatnya masih bergantung kepada pihak lain. Adunan antara teori-teori pembangunan lazim inilah yang melahirkan sistem Kapitalisme dan Sosialisme. 

Hakikatnya, semua teori pembangunan lazim (termasuk Kapitalisme dan Sosialisme) masih berada di dalam satu paradigma, iaitu menjadikan manusia sebagai alat kepada pembangunan. 

Sedangkan manusia sebenarnya mesti kekal fungsinya sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di muka bumi. Pembangunan itu sebenarnya adalah untuk manusia. Manusia bukannya dicipta untuk pembangunan. 

Apabila sesuatu pembangunan itu dilaksanakan untuk manusia, sudah tentulah pembangunan itu mesti mengambil kira tugas manusia sebagai hamba kepada Allah dan sebagai khalifah yang mengurus tadbir bumi. 

Selain dari aspek ‘tangible’ (sesuatu yang dapat dihitung), pembangunan yang berteraskan Islam itu mesti turut mengambil kira aspek-aspek yang ‘intangible’ seperti dosa pahala, dunia akhirat, halal haram, konsep berkat, konsep rezeki dan konsep ibadah. Matlamatnya mestilah untuk memperoleh keredhaan Allah. 

Pernahkah kita baca kisah seorang peniaga pasar malam yang berjaya membesarkan anak-anaknya dengan berjaya, tidak berhutang sana sini, tidak meminta-minta, bahkan selalu memberi sedekah kepada yang susah? Pernah baca kisah itu? 

Pelik bukan? Peniaga pasar malam yang orang lihat susah, keretanya kecil, rumahnya tak besar, pakaiannya tiada jenama, tapi berjaya menempuh kehidupan membesarkan anak-anak dengan berjaya. 

Rahsianya, peniaga itu percaya kepada aspek ‘intangible’. Akhlaknya tinggi, budi pekertinya mulia. Operasi perniagaannya dihentikan seketika untuk solat. Pelanggannya ramai, barang jualannya laku. Untung dapat, berkat pun dapat. ‘Tangible’ dan ‘intangible’ dua-dua dia dapat. 

Berbeza halnya dengan tanggapan bahawa manusia itu diciptakan untuk pembangunan. Tanggapan ini akan menjadi manusia sebagai alat kepada pembangunan. Manusia dianggap sebagai mesin atau robot. Dikerahkan semaksima mungkin untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran, tanpa pedulikan tugasnya sebagai hamba Allah. 

Pernahkah kita lihat, ada pekerja yang dihalang majikan untuk solat waktu kerja? Ada juga yang dihalang untuk Solat Jumaat. Alasannya solat itu mengganggu kerja dan mengurangkan produktiviti. Perniagaan akan rugi jika pekerja berhenti seketika untuk solat. Pernah lihat situasi itu? 

Pernahkah kita dengar, ada pekerja wanita dihalang untuk pakai tudung dan tak boleh menutup aurat dengan sempurna? Alasannya pelanggan tak akan tertarik untuk masuk ke premis perniagaan atau tak tertarik nak beli produk yang dijual. Pernah kita dengar begitu?

Pernahkah kita baca sejarah bahawa ada hasil mahsul bumi bertuah kita seperti emas, bijih, logam, besi dan lain-lain mineral, diambil dan dibawa balik oleh penjajah ke tempat mereka? Mereka memprosesnya dan menjualnya kembali kepada kita dengan harga yang tinggi? 

Tok nenek kita dikerah jadi kuli mereka untuk menggali dan mengeluarkan hasil dari perut bumi di tanah kita. Tapi mereka yang kaut segala untung dan hasil. Penjajah meletakkan maruah negara kita pada harga yang murah. Kedaulatan negara dirobek. Hasil bumi di tanah air sendiri diselongkar rakus. Hutan gunung-ganang digondol sepuas nafsu. Manusia dijadikan hamba abdi kuli tanpa harga diri. 

Ketika itulah bangkitnya pejuang-pejuang Melayu mencetuskan gerakan rakyat menentang penjajah. Ulamak-ulamak turut terjun ke medan meniupkan semangat jihad yang tinggi, sehingga lahirnya pahlawan-pahlawan yang sanggup gugur syahid demi mempertahankan kedaulatan tanah air. 

Kali ini, sumber mineral berharga REE ditemui di Negeri Kedah. Nilainya dikatakan RM62 bilion. Hasil ini mesti terlebih dahulu dinikmati oleh semua pihak di dalam Negeri Kedah. Manusia yang hatinya ada iman, akan menguruskan hasil ini dengan sejahtera agar nikmatnya dapat dikongsi dengan semua. 

Tapi, manusia yang ada hati penjajah, akan terus meratah dan mengikis tanpa meninggalkan sisa, menjadikan rakyat umpama pengemis di pintu gua. 

USTAZ AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDIN
8 Januari 2021, Seri Mentaloon – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -