Mercedes S560e: Kerajaan DAP tidak prihatin derita rakyat

- Advertisement -

SAYA terkejut apabila membaca laporan berita mengenai tindakan Kerajaan DAP-PH Pulau Pinang yang membeli kereta rasmi baharu model Mercedes S560e untuk kegunaan Ketua Menteri yang berharga RM458,122.78.

Dalam keadaan ramai rakyat Pulau Pinang yang sedang menderita kesan penularan pandemik COVID-19, tindakan Kerajaan Negeri ini langsung tidak sensitif dan prihatin terhadap rakyat. Nilai harga kereta tersebut cukup untuk membekalkan bakul makanan bernilai RM50 kepada 9,162 buah keluarga di seluruh Pulau Pinang.

Ini sangat-sangat berbeza dengan sikap Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh Perikatan Nasional yang lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan pengenalan pelbagai bentuk skim dan bantuan kepada golongan rentan. Berbelanja ratusan bilion Ringgit dalam Belanjawan 2021 hanya untuk membantu golongan yang terjejas tanpa perlu retorik seperti DAP-PH.

- Advertisement -

Red Bean Army dan laskar siber PH giat menyerang dan menghina PAS sewaktu Kerajaan Negeri Kelantan memberi kereta rasmi baharu untuk Menteri Besar dan Exco tetapi diam membisu dalam tindakan Kerajaan DAP-PH Pulau Pinang ini. 

Jawapan yang saya dapat dalam sidang dun lepas bahawa seramai 5,443 orang diberhentikan kerja manakala 8 hotel terpaksa ditutup di Pulau Pinang sepanjang musim COVID-19. Mengapakah peruntukan yang ada tidak mengutamakan mereka ini dahulu. 

Itu belum lagi belanjawan negeri tahun ini yang membawa kepada defisit RM403.8 juta. Keadaan menunjukkan kerajaan tidak berhemah dalam berbelanja.

Kerajaan DAP-PH Pulau Pinang seharusnya menangguhkan dahulu kalau bukan membatalkan sahaja hasrat membeli kereta rasmi baharu dan memberikan penumpuan kepada soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat ketika ini, namun mereka memilih untuk berbelanja demi untuk memenuhi nafsu hidup dalam kemewahan mereka sendiri semata-mata. 

Justeru itu, rakyat Pulau Pinang perlu melihat kemunafikan DAP-PH dan menolak mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

YB USTAZ YUSNI MAT PIAH
ADUN Penaga – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -