Kongres Negara 2021: Fokus penyatuan ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganjuran Kongres Perpaduan Negara 2021 diharapkan dapat merintis jalan ke arah penyatuan ummah dan kemelut ideologi politik yang sedang melingkari masyarakat Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kongres, Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata, tujuan kongres ini diadakan adalah untuk membentuk satu mekanisma dalam menangani isu perkauman.

- Advertisement -

Di samping itu, berpotensi memupuk amalan mulia rentas budaya dan primodial dengan kesefahaman yang lebih baik bersendikan ‘peraturan dan nilai’ yang boleh diterima secara sejagat.

“Lebih penting lagi kongres ini untuk membina dan menghidupkan ‘jambatan rundingan dan muafakat’ sebagai langkah yang tuntas dan berkesan agar krisis, konflik dan ketegangan dapat dibendung dan tidak menjadi letusan kemarahan atau perbalahan yang besar sehingga menjejaskan kestabilan politik dan politik kebencian.

“Oleh hal yang demikian, tidak ada sebab untuk kita cuba menolak seruan dan peluang yang terbuka luas demi merintis jalan ke arah perpaduan. Dengan merintis jalan itu, ruang jaminan hidup sejahtera akan terlaksana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kongres ini akan diadakan selama dua hari bermula pada 16 hingga 17 Januari ini bertempat di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

Ia akan dihadiri para pembentang dan panel daripada tokoh pemimpin, akademik dan masyarakat serta para peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, aktivitis sosial, penjawat awam dan ahli akademik.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah juga turut dijangka merasmikan kongres ini manakala Majlis Penutup akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kongres ini dianjurkan bersama dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) serta kerjasama erat daripada Kementerian Perpaduan Negara dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrudin berharap kongres ini dapat ‘satukan kepelbagaian, elakkan perpecahan’ dengan wawasan baharu dan iktikad yang jelas.

“Mudah-mudahan, usaha Kongres Perpaduan Negara 2021 ini dapat merealisasikan matlamat memperkasa perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat dapat dilaksanakan dengan jaya agar asas kepada kesejahteraan negara terus kekal lestari di bawah lembayung rahmat Allah SWT,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -