Kita hilang insan yang sangat bernilai – MP Kuala Krai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan seorang anak muda yang begitu bernilai setelah pemergian Allahyarham Mohamad Hakimin Rahim, 20, baru-baru ini yang terkorban ketika membantu mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai, Kelantan.

Tragedi itu memberi suasana sedih dan pilu buat seluruh rakyat Kuala Krai terutamanya keluarga Allahyarham yang menetap di Kampung Manjor, Kuala Krai. Malah, rumah Allahyarham juga turut terkesan dengan bencana itu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, ketika menziarahi keluarga Allahyarham, keluarganya menceritakan kepada beliau mengenai keperibadian Hakimin yang mempunyai cita-cita yang mulia.

- Advertisement -

Kata mereka, Hakimin giat membantu memindahkan mangsa banjir di Kuala Krai sejak kampung itu dilandan banjir bermula pada awal pagi, setiap hari menggunakan sampannya.

Hakimin hanya mengayuh botnya menggunakan pengayuh dan tidak menggunakan bot yang mempunyai enjin.

Malah, hari kejadian tersebut, Hakimin ada memaklumkan bahawa hari tersebut adalah hari terkahir beliau ingin membantu penduduk kampung dengan memastikan semua mangsa dapat dipindahkan sepenuhnya memandangkan paras air semakin tinggi.

Bagaimanapun, setelah berjam-jam membantu memindahkan orang kampung yang terkesan, beliau terjatuh ke dalam sungai ketika membantu memindahkan rakannya.

Dalam laporan lain, Allahyarham Hakimin dikatakan terlalu penat sebelum tiba-tiba pengsan pada jam lebih kurang 10 malam ketika berdayung perahu membawa dua penumpang ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwab Ar-Rafee Parsimin berkata, mangsa dipercayai terjatuh akibat kepenatan selain mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk ketika membantu penduduk kampung sejak awal pagi hingga malam.

Mengambil kesempatan itu, Abdul Latiff mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan supaya Allahyarham Hakimin dikurniakan pahala sebesar Syahid serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Beliau juga turut menghulurkan sumbangan buat keluarga Allahyarham Hakimin.

“Sesungguhnya kita kehilangan seorang insan dan anak muda yang sangat bernilai,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi.

Turut hadir dalam ziarahi bersama Ahli Parlimen Kuala Krai itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Tuan Kamarul. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -