Dakwaan karut cerita tular ‘post-mortem’ mayat COVID-19

- Advertisement -

TERDAPAT satu sebaran artikel yang sebenarnya telah viral sejak daripada bulan Jun 2020 lagi yang menyatakan bahawa negara Itali adalah negara yang pertama melakukan post-mortem terhadap kes kematian COVID-19. Mereka mendapati bahawa kematian bukan diakibatkan oleh virus COVID-19 tetapi akibat daripada bakteria yang akhirnya menyebabkan radang dan darah tersumbat. 

Lantas mereka terus menyalahkan kejadian radang dan salur darah tersumbat itu akibat daripada teknologi 5G serta menganggap itulah racun yang diberi nama Amplified Global 5G Electromagnetic Radiation.

Sekali baca tulisan itu pun berbelit-belit sebab ianya adalah terjemahan daripada artikel Bahasa Inggeris yang telah dikeluarkan oleh anti-vaksin dari Barat. Tetapi orang kita memang mudah terperdaya dan terpersona dengan artikel yang tidak ada hujung pangkalnya itu. Berikut adalah beberapa jawapan kepada dakwaan karut itu:

- Advertisement -

Dakwaan 1: Negara Itali adalah negara pertama melakukan bedah siasat mayat COVID-19 (post-mortem)

Sebenarnya China lebih awal melakukan post-mortem terhadap kematian kes COVID-19 bukan Itali. WHO tidak marah pun untuk melakukan post-mortem terhadap kes kematian COVID-19 tetapi mesti mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan. Garis panduan itu dibuat semata-mata ingin mengelakkan daripada orang hidup yang belum dijangkiti supaya tidak dijangkiti oleh orang mati yang telah dijangkiti oleh COVID-19. 

Sebenarnya kalau sudah tentu sahih mati akibat dari COVID-19 sudah tidak perlu lagi melakukan post-mortem. Sudah jelas dan bersuluh kenapa ingin melakukan pembedahan post mortem?

Dakwaan 2: COVID 19 itu adalah bakteria

COVID-19 adalah singkatan kepada Corona Virus Disease, dan tahun ditemui adalah 2019. COVID-19 ini adalah satu keluarga dengan virus SARS-CoV-1 yang pernah menjadi wabak dunia pada tahun 16 April 2003. Oleh sebab itu ianya disebut juga sebagai SARS-CoV-2. Ianya virus bukan bakteria. Jadi tohmahan daripada penulis berkenaan menyatakan bahawa COVID-19 itu bakteria adalah tidak betul. 

Dakwaan 3: Doktor Itali menggunakan antibiotik untuk rawat COVID-19 

Tidak tepat itu. Apa yang berlaku sebenarnya pesakit kritikal yang telah dijangkiti oleh COVID-19 kemungkinan besar ianya telah berlaku serangan sekunder daripada bakteria lain. Oleh yang demikian, doktor pakar akan memberikan antibakteria untuk melawan jangkitan sekunder bukan untuk membunuh COVID-19. COVID-19 adalah virus tidak ada lagi ubat rawatan untuk membunuh virus COVID-19.

Dakwaan 4: COVID-19 penyebab pembekuan darah

Ya benar, tetapi tidak semua pesakit mengalaminya dan bukannnya dapatan kajian dari doktor Itali tadi. Beberapa kajian juga mendapati 20 – 30 peratus pesakit yang dirawat di wad kritikal mengalami penyumbatan salur darah. Justeru, ubat pencair darah digunakan seperti Heparin. 

Ubat untuk anti-radang dan anti-pembekuan darah sebenarnya memang diberi kepada pesakit yang dimasukkan ke wad rawatan rapi. Tetapi ianya bukan satu rawatan yang definitif untuk merawat COVID-19. Ia adalah satu rawatan untuk membantu mengurangkan radang dan mencairkan darah. Tidak semua pesakit akan diberikan ubat anti-radang seperti Paracetamol dan Aspirin.

Kajian besar-besaran sedang dijalankan di UK untuk menentusahkan bahawa penggunaan anti-radang dan juga Aspirin itu digunakan untuk membantu mengurangkan kesengsaraan pesakit COVID-19.

Dakwaan 5: COVID-19 itu akibat daripada keracunan gelombang 5G

Tuan-tuan sekalian, COVID-19 ini sejenis virus, dia tak boleh bergerak melalui gelombang 3G ke 5G ke. Virus ini bergerak dan berjangkit melalui hubungan fizikal, droplet dari pernafasan orang yang positif. Kita berada di persekitaran orang yang dijangkiti juga berisiko dijangkiti sama. Ianya tidak sesekali ianya merebak melalui gelombang. Malah Pandemik yang berlaku dalam dunia ini semua negara terlibat, walaupun negara mereka tidak mempunyai teknologi 5G. Tetapi ramai yang dijangkiti oleh COVID-19. 

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 8/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -